FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Tehran: Iran mengumumkan ia berjaya menempatkan satelit ketenteraan di orbit, ketika perbincangan mengenai memulihkan perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa besar dunia mencapai tahap kritikal.

"Satelit tentera kedua Iran, Nour-2 dilancarkan ke angkasa lepas oleh roket Qassed dari bahagian aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran dan berjaya ditempatkan di orbit 500 kilometer dari bumi," lapor agensi berita rasmi Irna.

Kor Pengawal Revolusi Islam menyifatkan Nour-2 sebagai "satelit peninjau" dalam satu kenyataan di laman web Sepah Newsnya.

Ia berkata, satelit itu dilancarkan dari padang pasir Shahroud di wilayah Semnan, kira-kira 300 kilometer timur ibu negara.

Menteri Telekomunikasi Issa Zarepour memuji kejayaan pelancaran itu.

"Isyarat pertama dari Nour-2 berjaya diterima stesen darat.

"Satelit peninjau ini akan mengorbit bumi setiap 90 minit, dan misinya akan berlangsung sekurang-kurangnya tiga tahun," katanya dalam kenyataan di Irna.

Amerika Syarikat berulang kali menyuarakan kebimbangan bahawa pelancaran sedemikian boleh meningkatkan teknologi peluru berpandu balistik Iran.

Tetapi Iran menegaskan ia tidak menumpukan kepada senjata nuklear dan pelancaran satelit dan roketnya adalah untuk tujuan sivil atau pertahanan sahaja.

Iran berjaya meletakkan satelit ketenteraannya yang pertama ke orbit pada April 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 10:05 AM