PELANCARAN Measat-3d jadi Malaysia memiliki satelit termaju Asia Pasifik lengkap jalur frekuensi ‘QV’
PELANCARAN Measat-3d jadi Malaysia memiliki satelit termaju Asia Pasifik lengkap jalur frekuensi ‘QV’
Muhammad Saufi Hassan


KUALA LUMPUR: Kejayaan pelancaran satelit baharu negara, Measat-3d hujung minggu lalu sekali gus menjadikan negara memiliki satelit termaju di Asia Pasifik yang dilengkapi dengan jalur frekuensi 'QV' (QV Band).

Ia adalah satelit pertama yang dilancarkan di rantau ini dilengkapi dengan jalur frekuensi berkenaan selain daripada jalur C, Ku, Ka dan L.

Satelit yang dibina oleh syarikat gergasi aeronatik antarabangsa, Airbus itu dilancarkan pada Khamis lalu di Pusat Pelancaran Angkasa Eropah, Kourou, French Guiana, Amerika Selatan.

Keberadaan satelit berkenaan juga akan meningkatkan kapasiti jalur lebar di negara ini sehingga 100 mbps sesuai dengan keperluan dunia digital pada hari ini.

Ketua Satelit Komunikasi Airbus, Francois Gaullier berkata, Measat-3d adalah satelit E3000 yang ke-57 dibina oleh syarikat berkenaan.

"Satelit berkenaan diletakkan pada slot orbit 91.5 darjah Utara bergandingan dengan Measat-3b yang juga dibina oleh Airbus.

"Kelengkapan baharu ini akan membantu untuk meningkatkan tahap kelajuan jalur lebar dengan signifikan sehingga mencapai 100 mbps di kawasan tanpa rangkaian atau tahap rangkaian terhad di Malaysia.

"Ia juga akan membekalkan kapasiti lebihan dan kapasiti tambahan bagi penyampaian atau capaian video resolusi Ultra Tinggi (HD), 4K dan akhirnya 8K di rantau Asia Pasifik," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

PELANCARAN satelit Measat-3d melengkapkan jangkauan telekomunikasi di negara ini.
PELANCARAN satelit Measat-3d melengkapkan jangkauan telekomunikasi di negara ini.

Beliau berkata, Measat-3d dibina berasaskan kepada platform satelit Eurostar syarikat berkenaan yang amat dipercayai sertamerangkumi siri E3000 yang terkini.

Sejumlah 58 satelit daripada platform berkenaan kini berada di orbit dengan setiap satu satelit mempunyai anggaran jangka hayat melebihi 17 tahun.

Tempoh operasi bagi semua satelit berkenaan menjangkau lebih 1,000 tahun termasuk pelancaran yang terbaru oleh Measat-3d.

Gaullier berkata, selain memiliki kapasiti jalur C dan Ku untuk kefungsian 'Terus ke Rumah' (DTH), pengedaran video dan perkhidmatan telekomunikasi.

"Ia juga turut menampilkan Jalur-Ka 'High Throughput Satellite' (HTS) dengan pancaran titik berbilang pengguna yang dioptimumkan untuk menyampaikan komunikasi jalur lebarberkelajuan tinggi ke seluruh Malaysia dengan matlamat untuk merapatkan jurang perbezaan keupayaan digital.

"Menyentuh keupayaan jalur QV, ia adalah pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik yang akan membolehkan Measat mengkaji kesan pertumbuhan dan pembiakan di rantau yang menerima kadar hujan yang tinggi seperti Malaysia.

"Ia juga akan menjadi rujukan dalam pembangunan reka bentuk satelit generasi seterusnya," katanya.

Pada masa sama, satelit ini juga akan turut menempatkan muatan navigasi Jalur-L bagi Korea Augmentation Satellite System (KASS) untuk KTSAT.

Dirancang untuk beroperasi selama lebih dari 19 tahun, Measat-3d direka untuk memiliki keupayaan kuasa elektrik sebanyak 12kW pada penghujung hayatnya.

IA juga akan menambah baik kapasiti serta kelajuan jalur lebar sehingga 100mbps untuk kawasan yang tiada liputan Internet fiber.
IA juga akan menambah baik kapasiti serta kelajuan jalur lebar sehingga 100mbps untuk kawasan yang tiada liputan Internet fiber.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 7:00 AM