REKEBENTUK Istana Presiden di Nusantara. FOTO AFP
REKEBENTUK Istana Presiden di Nusantara. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Ketika Kerajaan Indonesia bersiap sedia memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan Timur, Jakarta tidak lama lagi akan kehilangan status sebagai ibu negara.

Rancangan untuk memindahkan ibu kota itu sudah dimulakan ketika era Presiden Indonesia pertama, Soekarno dan kini akan direalisasikan Presiden Joko Widodo.

Pemindahan ibu kota itu dipercepatkan selepas Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bersetuju untuk mengesahkan Rancangan Undang Undang Ibu Kota Negara (RUU IKN) dalam mesyuaratnya pada 18 Januari lalu.

Menerusi RUU IKN itu, kerajaan Indonesia berhasrat supaya ibu kota negara itu dipindahkan ke Kalimantan Timur antara 2024 hingga 2025, menurut Agensi Berita Antara.

Agensi Perancangan Pembangunan Kebangsaan (Bappenas) juga mengeluarkan Buku Poket Perpindahan Ibu Kota yang mengandungi maklumat mengenai fasa perpindahan itu.

Pembangunan ibu kota baharu itu akan dimulakan dengan pembinaan infrastruktur utama seperti Istana Presiden, Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat dan pembinaan perumahan kediaman di kawasan utama ibu kota yang akan dinamakan Nusantara.

Fasa seterusnya adalah pemindahan aset ketenteraan dan keselamatan awam termasuk anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) serta infrastruktur asas seperti air dan tenaga elektrik.

Menurut Antara, keputusan memindahkan ibu negara itu mendapat reaksi bercampur daripada masyarakat.

Bagi mereka yang menyokong, pemindahan ibu kota dari Jakarta itu mampu meningkatkan usaha pembangunan seimbang selain menyelesaikan masalah kesesakan di Jakarta.

Sementara itu, peruntukan tinggi diperlukan untuk pembinaan ibu kota baharu terutama dalam situasi pandemik Covid-19 menjadikan cadangan itu diselar sesetengah pihak.

Pada 2020, Bappenas memaklumkan peruntukan untuk pembinaan ibu negara baharu akan menelan belanja 466 trilion rupiah (kira-kira RM135.9 bilion) dengan 90.4 trilion rupiah (kira-kira RM26 bilion) untuk pembangunan fizikal berdasarkan Peruntukan Negara.

Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto memberi jaminan peruntukan Pemulihan Ekonomi Nasional (PEN) untuk menangani Covid-19 tidak akan digunakan dalam pembangunan ibu negara baharu itu.

Selepas diluluskan DPR bagi RUU IKN sebagai undang-undang, ramai yang mempersoalkan masa depan Jakarta.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jakarta (Kadin), Diana Dewi, berkata pemindahan ibu negara akan menjejaskan prestasi ekonomi Jakarta.

Impak itu akan memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah dan kerajaan di Jakarta yang dijangka akan merosot.

Ini adalah jangkaan yang dibuat selepas industri akan meninggalkan kota itu dan bandar satelit lain menyebabkan kemerosotan terhadap insentif tenaga buruh termasuk anggota TNI dan Polri juga akan dipindahkan ke ibu negara yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 8:45 AM