JOKO Widodo
JOKO Widodo
BERNAMA

Jakarta: Presiden Indonesia Joko Widodo dijangka membawa pelabur termasuk dari Malaysia untuk melawat tapak ibu kota negara (IKN) Nusantara pada akhir bulan depan, demikian lapor media tempatan.

Menteri Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono berkata mengikut perancangan awal presiden akan kembali melawat IKN bersama pelabur untuk meyakinkan mereka.

"Mungkin akhir Februari. Kalau sudah ada progres (kemajuan) yang lebih baik berbanding dua bulan lalu, beliau (Joko Widodo) akan ke sana bersama pelabur," katanya dipetik portal berita, detikFinance.

Basuki berkata pelabur dari pelbagai negara termasuk Malaysia terutamanya telah menyatakan komitmen untuk terlibat sama dalam pembangunan IKN di Kalimantan Timur.

Sebanyak 10 syarikat Malaysia secara rasmi berhasrat untuk terlibat sama dalam pembangunan IKN menerusi 11 surat hasrat (LOI), melibatkan 11 projek.

LOI itu diserahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kepada Ketua Pihak Berkuasa IKN Bambang Suswantono di Istana Kepresidenan Bogor pada 9 Jan lalu.

Majlis penyerahan tersebut disaksikan Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Indonesia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Basuki, yang menjadi Menteri Pengiring semasa lawatan perdana menteri itu berkata kerja-kerja awalan seperti pembersihan tanah, kerja ukur, dan pembinaan lebuh raya sedang berjalan lancar.

Sekurang-kurangnya 500 daripada 16,000 pekerja pembinaan bangunan kini menetap di IKN dan akan dibawa masuk beransur-ansur, katanya.

Pembangunan yang sedang giat dilaksanakan kerajaan Indonesia itu seiring dengan rancangan Joko Widodo untuk mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 2024 di Nusantara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 6:18 PM