Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia mengumumkan rancangan memindahkan ibu negara dari Jakarta dan akan memulakan persediaan untuk tujuan itu tahun depan.

Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Bambang Brodjonegoro berkata, dia berbincang secara terperinci mengenai pemindahan ibu negara itu dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) di Istana Presiden kelmarin.

Bambang yang mengetuai Agensi Perancang Pembangunan Nasional (Bappenas) memberitahu antara yang dibincangkan ialah mengenai kajian kebolehlaksanaan dan peruntukan untuk projek itu.

“Pada 2018 atau 2019, akan ada aktiviti berkaitan pemindahan pentadbiran kerajaan pusat (ke ibu negara yang baru),” katanya yang dipetik Jakarta Post.

Menurutnya, Bappenas dan Kementerian Perumahan Awam dan Kerja Raya akan mengetuai kementerian dan badan kerajaan lain untuk melaksanakan projek berkenaan.

Tambahnya, tempoh tiga hingga empat tahu diperlukan untuk menukarkan sebuah bandar menjadi ibu negara yang baru.

“Kami memerlukan tiga hingga empat tahun untuk menyiapkan infrastruktur asas dan bangunan kerajaan.

“Pejabat presiden dan kementerian akan dipindahkan ke ibu negara yang baru itu dan Jakarta akan kekal sebagai pusat perniagaan dan kewangan,” jelasnya.

Bambang tidak menamakan bandar yang bakal dijadikan ibu negara baru tetapi pegawai kerajaan sebelum ini menyebut beberapa kota termasuk Palangkaraya di Kalimantan Tengah dan Jonggol di Bogor, Jawa Barat.

Antara faktor kerajaan mahu memindahkan ibu negara itu adalah kepadatan dan kesesakan jalan raya yang teruk di Jakarta.

Bagaimanapun, Bambang memberi bayangan bahawa ibu negara yang baru itu bakal ditempatkan di luar pulau Jawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 3:59 AM