Kakitangan kesihatan menyembur cecair disinfektan dalam bilik darjah di Jakarta, Indonesia. - FOTO EPA
Kakitangan kesihatan menyembur cecair disinfektan dalam bilik darjah di Jakarta, Indonesia. - FOTO EPA
Agensi

Jakarta: Presiden Joko Widodo meminta masyarakat kekal tenang menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang berpunca daripada varian Omicron.

Namun, katanya semua pihak masih perlu mengekalkan disiplin dalam memastikal protokol kesihatan dipatuhi.

"Saya minta tuan, puan dan saudara-saudara sekalian tetap tenang, tidak panik, laksanakan protokol kesihatan serta kurangkan aktiviti yang tidak perlu," katanya melalui melalui tayangan YouTube Sekretariat Presiden, semalam.

Menurutnya, peningkatan kes dijangka terus berlaku dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Katanya, kerajaan melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi gelombang terbaru ini selepas melihat banyak negara terlebih dahulu dilanda badai Omicron.

"Antara yang dilaksanakan kerajaan adalah menyediakan maklumat kesihatan melalui aplikasi atau teleperubatan," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Jokowi berkata, tidak semua kes jangkitan Omicron memerlukan kemasukan ke hospital kerana gejalanya tidak membahayakan.

"Mereka yang disahkan positif hanya perlu mengasingkan diri selama lima hari," katanya.

Sementara itu, Perhimpunan Rumah Sakit Seluruh Indonesia (Perssi) meminta semua hospital untuk bersiap menghadapi lonjakan kes Covid-19 yang dilihat mula meningkat.

Wakil Ketua Perssi, Koesmedi Priharto berkata, pihaknya berhati-hati dengan situasi semasa dan mula bersedia selepas munculnya varian Omicron.

"Kita minta semua hospital bersedia untuk mengaktifkan semula lokasi untuk rawatan Covid-19," katanya.

Indonesia mencatatkan 9,905 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 4.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 6:42 PM