Helikopter yang membawa Rawat dan beberapa pegawai pertahanan India terhempas di Tamil Nadu. - FOTO Agensi
Helikopter yang membawa Rawat dan beberapa pegawai pertahanan India terhempas di Tamil Nadu. - FOTO Agensi
AFP

New Delhi: Helikopter yang membawa Ketua Pertahanan India, Jeneral Bipin Rawat terhempas mengorbankan Rawat dan isteri, Madhulika Rawat serta 11 penumpang maut.

Tentera Udara India turut mengesahkan seorang penumpang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dalam kemalangan yang berlaku berhampiran Coonoor, Tamil Nadu itu.

Menurut Tentera Udara India lagi, Rawat, 63, sedang dalam perjalanan bersama isterinya dan penumpang lain ke Kolej Kakitangan Perkhidmatan Pertahanan menaiki helikopter Mi-17 buatan Rusia.

Rawat adalah ketua pertahanan pertama, jawatan yang diwujudkan kerajaan sejak 2019, dan dilihat paling rapat dengan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Jeneral Bipin Rawat. FOTO EPA
Jeneral Bipin Rawat. FOTO EPA

Mendiang menyertai angkatan tentera sebagai Leftenan Kedua pada 1978 dan sudah berkhidmat selama empat dekad termasuk mengetuai pasukan tentera di Kashmir dan Garisan Kawalan Sebenar (LAC) di sempadan dengan China.

Beliau juga bertanggungjawab mengurangkan keganasan di persempadanan timur laut India dan mengawal selia operasi antipengganas rentas sempadan memasuki sempadan Myanmar.

Rawat mengetuai pasukan tentera dengan kekuatan 1.3 juta anggota antara 2017 dan 2019 sebelum dinaikkan pangkat mengetuai barisan pertahanan negara, yang menurut penganalisis, bertujuan mengintegrasi tentera darat, laut dan udara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:13 PM