Sebahagian penduduk menaiki bot di kawasan perkampungan Ashigarh dilanda banjir di India. FOTO AFP
Sebahagian penduduk menaiki bot di kawasan perkampungan Ashigarh dilanda banjir di India. FOTO AFP
AFP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 15 maut dalam insiden banjir dan tanah runtuh di India, kata pihak berkuasa, hari ini meletakkan angka kematian akibat hujan monsun tahunan hampir kepada 200 orang.

Ketua Menteri Negeri, Nongthombam Biren berkata, tanah runtuh menimbus sembilan orang di kawasan berbukit dan terpencil di Manipur, kawasan timur laut India.

“Saya amat sedih sembilan nyawa berharga melayang akibat tanah runtuh di tiga tempat di ibu pejabat Tamenglong,” tulisnya di Twitter.

Media tempatan melaporkan, lapan mangsa adalah kanak-kanak termasuk beberapa orang sekeluarga.

Secara berasingan, pihak berkuasa berkata, enam maut akibat banjir dan tanah runtuh di Uttarakhand, negeri pergunungan Himalaya di utara India.

Pegawai Jabatan Kecemasan Negeri, Piyush Kumar berkata, empat anggota sekeluarga dihanyutkan tanah runtuh manakala dua lagi lemas dalam sungai melimpah akibat hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 8:50 PM