Tanda nama di pakaian seragam sekolah Adef (kiri) dan Adef (kanan). FOTO Agensi
Tanda nama di pakaian seragam sekolah Adef (kiri) dan Adef (kanan). FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Seorang pelajar sekolah menengah di Muara Enim, di Sumatera Selatan memiliki nama yang sangat unik.

Pelajar lelaki berkenaan dinamakan 'ABCDEF GHIJK Zuzu' oleh ibu bapanya.

ABCDEF GHIJK Zuzu adalah anak kepada pasangan Zulfahmi, 41, dan isterinya, Zuhro Liani, 36.

Nama pelajar itu menjadi tular dalam media sosial selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Balai Polis Muara Enim, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bapanya mengesahkan nama unik itu adalah nama anaknya.

Katanya, biarpun nama anaknya dalam abjad, dia dan isteri sering memanggil anak mereka sebagai Adebz atau Adef.

"Benar, pelajar lelaki dengan nama ABCDEF GHIJK Zuzu itu adalah anak saya.

"Saya sudah lama merancang untuk menamakan anak dengan huruf sejak sebelum kahwin lagi," katanya kepada Kompas.com.

Zulfahmi turut memberitahu, dia berdepan kesukaran untuk mendaftarkan nama anaknya kerana banyak pihak beranggapan dia bergurau.

"Tidak, saya tidak bergurau dan memang saya ingin namakan anak saya dengan abjad.

"Saya perlu melakukan pelbagai urusan dokumentasi termasuk surat doktor mengenai kelahiran anak saya untuk mendaftar sijil kelahiran Adef kerana mereka ingat saya bergurau," katanya.

Dalam perkembangan sama, Zulfahmi berkata, ketika Adef di sekolah rendah, anaknya dipanggil dengan pelbagai nama.

Katanya, ada yang panggil anaknya ABCD dan pelbagai nama.

"Saya tidak kisah apa mereka panggil anak saya, saya bangga dengan nama itu dan sudah tentu saya berharap Adef akan jadi anak yang berjaya," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 1:36 PM