AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau tidak akan bertanding untuk merebut jawatan naib presiden pada 2022 dan akan bersara dari politik.

Katanya, beliau juga akan memberi laluan kepada anak perempuannya untuk bertanding tahun depan.

Duterte, yang kekal popular sejak 2016, tidak dibenarkan memegang jawatan presiden untuk penggal kedua.

"Sentimen daripada warga Filipina bahawa saya tidak layak (untuk memegang jawatan dua penggal).

"Hari ini, saya mengisytiharkan persaraan saya dari politik," katanya.

Duterte, mendapat perhatian antarabangsa berikutan peperangannya dengan pengedar dadah selain mulutnya yang celupar.

Namun, beliau kekal popular dalam kalangan rakyat Filipina yang bosan dengan kegagalan fungsi ahli politik elit.

Kempen antijenayah Duterte telah mengakibatkan kematian ribuan pengedar dan penagih yang mengundang kecaman global.

Namun berjuta-juta rakyat Filipina menyokong tindakannya, walaupun beliau pernah membuat jenaka berkaitan rogol dalam ucapannya, memenjarakan individu yang mengkritiknya dan gagal membasmi rasuah di negaranya.

Rodrigo Duterte. - FOTO Agensi
Rodrigo Duterte. - FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:57 PM