Rodrigo Duterte. - FOTO AFP
Rodrigo Duterte. - FOTO AFP
AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menarik diri daripada bertanding merebut jawatan dalam pilihan raya pada 2022, selepas sebulan membuat penyertaan saat akhir.

Duterte, 76, dilarang menyertai pemilihan semula, dan keputusannya untuk bertanding bagi Senat telah dilihat sebagai cara untuk kekal dalam politik semasa menghadapi siasatan antarabangsa terhadap perang dadahnya.

"Presiden telah memfailkan penarikan diri daripada pemilihan Senator," James Jimenez, jurucakap pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, berkata di Twitter.

Tiada alasan rasmi diberikan untuk penarikan tiba-tiba Duterte daripada pilihan raya pada Mei, yang akan menyaksikan beribu-ribu calon bertanding lebih daripada 18,000 jawatan daripada presiden kepada ahli majlis bandaran.

Duterte berkata, sebelum ini beliau akan bertanding jawatan kedua tertinggi negara, sebelum mengubah fikiran dan mengumumkan rancangan untuk bersara daripada politik -- yang disambut dengan keraguan mendalam dalam kalangan penganalisis.

Penarikan diri terbarunya tidak semestinya bermakna dia merancang untuk berhenti dari politik. Di bawah peraturan pilihan raya, dia berpotensi menggantikan calon lain yang berkongsi nama keluarga jika mereka hilang kelayakan atau meninggal dunia.

Anak perempuan Duterte, Sara bertanding jawatan naib presiden manakala anaknya Sebastian bertanding pemilihan datuk bandar di kubu kuat keluarga mereka di Davao City.

"Ia sangat memeningkan," kata Antonio Contreras, seorang profesor sains politik di Universiti De La Salle di Manila.

Contreras berkata, Duterte mungkin telah "membuat perjanjian" untuk memastikan presiden akan datang akan melindunginya daripada tuduhan jenayah di Filipina, atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Mereka mungkin sudah memastikan bahawa seseorang akan bertindak bagi pihak mereka untuk melindungi kepentingan mereka," katanya.

Penyingkiran Duterte daripada pertarungan berlaku beberapa jam selepas pembantu rapatnya dan penggantinya, Senator Christopher Go secara rasmi menarik balik pencalonannya sebagai presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:45 PM