MANGSA terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari badannya. FOTO Agensi
MANGSA terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari badannya. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki di India tidak menyedari dirinya terkena tembakan ketika tidur kerana menyangka kecederaan dialami adalah luka disebabkan cakaran kucing.

The Sun melaporkan, Nemi Chand, 35, dari Rajasthan terkejut selepas bangun daripada tidur dan mendapati kesan luka di badannya.

Nemi dikatakan terbangun daripada tidur dengan tiba-tiba apabila terasa sakit ringan di bahagian dadanya.

Pada mulanya, Nemi yang bekerja sebagai juruelektrik menyangka luka itu mungkin disebabkan cakaran kucing dan mengabaikannya.

Tidak lama kemudian, Nemi menyedari dia mengalami luka akibat tembakan selepas salah seorang rakannya menemui sebutir peluru kosong ketika membersihkan bilik tidur.

Nemi kemudian dibawa ke hospital dan diperiksa segera dengan melakukan ujian imbasan X-ray.

Imej X-ray menunjukkan peluru di dalam badannya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai organ utama.

Berikutan itu, Nemi menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru itu yang hampir terkena pada bahagian organ dalamannya.

Beberapa rakaman yang diambil di bilik pembedahan itu menunjukkan doktor bedah berusaha mengeluarkan peluru itu daripada badannya.

Sementara itu, polis Raniwara memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 10:12 AM