DRUPADA Pandurangkedar, 70, bergambar di depan rumahnya sebelum ke sekolah.
DRUPADA Pandurangkedar, 70, bergambar di depan rumahnya sebelum ke sekolah.
KANTABAI More (dua dari kanan) membantu rakannya, Anusuya Kokedar ketika latihan menulis.
KANTABAI More (dua dari kanan) membantu rakannya, Anusuya Kokedar ketika latihan menulis.
ANTARA buku yang digunakan untuk latihan membaca di Aajibaichi Shala.
ANTARA buku yang digunakan untuk latihan membaca di Aajibaichi Shala.
UMA SITARAMTUPANGE, 65, yang turut belajar di Aajibaichi Shala tetap teruskan tugasnya menjaga cucu.
UMA SITARAMTUPANGE, 65, yang turut belajar di Aajibaichi Shala tetap teruskan tugasnya menjaga cucu.
SHEETAL More menjadi guru tunggal di Aajibaichi Shala.
SHEETAL More menjadi guru tunggal di Aajibaichi Shala.
LATIHAN setiap hari membolehkan wanita warga emas menulis nama sendiri.
LATIHAN setiap hari membolehkan wanita warga emas menulis nama sendiri.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Setiap hari sebelum jam 2 petang, tatkala penduduk kampung Phangane di Maharashtra di India tidur sejenak untuk menghilangkan penat, sekumpulan wanita tua yang memakai sari merah jambu terang berjalan beramai-ramai menuju ke pondok berwarna ceria, sambil membawa beg galas atau beg plastik.

Dalam pondok yang dihias dengan pita rentang dan bunga itu, mereka duduk bersila di atas tikar kain. Mereka segera mengeluarkan papan hitam kecil, buku, kapur tulis dan pensel. Beberapa minit kemudian, seorang wanita muda mengetuai mereka membaca doa sebelum menyebut abjad Marathi untuk diikuti.

Mereka sebenarnya berada di Aajibaichi Shala atau sekolah nenek. Ia mungkin satu-satunya sekolah di India khusus untuk wanita warga emas yang buta huruf, dibuka badan kebajikan dan guru sekolah rendah di kampung itu, Yogendra Bangar. Sekolah ini mengajar wanita menulis, membaca dan kira-kira asas.

“Wanita ini tidak mendapat peluang belajar ketika mereka muda dulu. Mereka bukan belajar untuk masuk ke kolej atau bekerja di pejabat. Mereka belajar supaya dapat membaca, menulis dan tandatangan dengan nama sendiri seperti ahli keluarga lain,” kata Yogendra.

Kadar celik huruf di India sudah semakin meningkat dalam beberapa dekad ini sejajar dengan perkembangan ekonomi dan penekanan ke atas pendidikan. Namun pencapaian wanita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan lelaki, terutama di luar bandar apabila kanak-kanak perempuan biasanya tidak dihantar ke sekolah atau diberhentikan selepas tamat sekolah rendah supaya mereka membantu kerja di rumah atau di ladang.

Menurut data rasmi, kadar celik huruf dalam kalangan lelaki luar bandar di India ialah 79 peratus dan 59 peratus bagi wanita.

Sekolah unik Aajibaichi Shala dibuka tahun lalu untuk wanita berusia 60 tahun ke atas sebagai meraikan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Pada mulanya ia dikendalikan di rumah gurunya, Sheetal More - satu-satunya guru di sekolah berkenaan.

Kata Sheetal, acara perasmian sekolah itu amat meriah, seolah-olah satu perayaan apabila semua keluarga datang menemani pelajar pada hari pertama persekolahan mereka.

Sejak itu, kelas dipindahkan ke pondok yang dibina khas di belakang rumahnya, di bawah naungan pokok mangga besar.

“Pada awalnya saya berasa gementar juga hendak mengajar wanita yang berusia ini. Bahkan ibu mentua saya juga datang belajar,” kata Sheetal yang berjaya menamatkan persekolahan menengahnya.

“Namun mereka semua nampak begitu teruja dan bersemangat, seperti kanak-kanak kecil apabila berada di dalam kelas. Semua guru mengajar kanak-kanak, saya seorang yang berpeluang mengajar wanita warga emas,” katanya.

Tugasan

Sebenarnya keadaan Phangane tidak banyak berbeza dengan kampung lain di Maharashtra, antara negeri terkaya di India. Terletak kira-kira 120 kilometer dari Mumbai, kampung yang didiami 70 keluarga itu boleh dikatakan tersusun dan mempunyai jalan yang bersih. Setiap rumah diperbuat daripada batu-bata mempunyai pagar dan laman sendiri.

Pada waktu pagi, kaum wanitanya melakukan pelbagai tugasan seperti membasuh pakaian, memasak, mengembala ternakan dan menjaga cucu.

Pada sebelah petang, kira-kira 30 wanita warga emas berusia antara 60 hingga 90 tahun mengikuti kelas selama dua jam sehari, enam hari seminggu. Dalam tempoh setahun ini, mereka belajar abjad Marathi, nombor dan kini boleh menulis nama sendiri, kata Sheetal.

Pelajar wanita itu, termasuk Sheetal sendiri mengenakan sari warna merah jambu sebagai usaha mengulang pengalaman memakai pakaian seragam sekolah.

“Saya suka pergi ke sekolah. Di sini saya belajar menulis nama sendiri dan saya juga sudah kenal huruf,” kata Kamal Keshav Tupange, 68, kepada wartawan Thomson Reuters Foundation yang ditemui ketika dia mencuci pakaian.

“Satu-satunya masalah saya ialah sakit lutut, jadi saya tidak boleh duduk bersila terlalu lama. Namun setiap hari saya tetap pergi ke kelas,” sambungnya yang berkahwin pada usia 12 tahun dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.

Begitu juga dengan kebanyakan wanita tua di kampung itu. Kebanyakannya tidak pernah bersekolah dan dikahwinkan pada usia muda. Walaupun undang-undang India menetapkan had usia yang boleh berkahwin ialah 18 tahun, tetapi hampir separuh wanitanya berkahwin awal dan tradisi itu masih diteruskan sampai sekarang, menurut laporan UNICEF.

India menggubal Akta Hak Untuk Pendidikan pada 2009, memberi setiap kanak-kanak miskin dan kurang berkemampuan hak mendapatkan pendidikan wajib dan percuma sehingga mereka berumur 14 tahun.

Perdana Menterinya, Narendra Modi juga menjadikan pendidikan pelajar perempuan sebagai satu keutamaan, dengan melancarkan kempen kebajikan ‘Beti bachao, beti padhao’ (selamatkan anak perempuan, didik anak perempuan) pada 2015.

Di Aajibaichi Shala, kira-kira 20 pelajar duduk bersila menanti guru. Salah seorangnya datang bersama cucu. Selepas menghafal abjad beramai-ramai, mereka mula sibuk berlatih menulis dan kelas ditamatkan dengan hafalan sifir. Sebaik tamat kelas, kanak-kanak kecil berlari mendapatkan nenek masing-masing.

“Ketika muda dulu saya tidak pernah bersekolah. Jadi tentulah saya rasa seronok sangat dapat belajar bersama-sama wanita lain di kampung ini,” kata Anusuya Kokedar, 65.

“Sekarang saya boleh tanda tangan dengan nama sendiri. Saya sudah boleh menulis dan membaca sedikit-sedikit. Rasa seronok dan bangga,” sambungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 10:50 AM