FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Bangkok: Vaksin tempatan RNA messenger (mRNA) Covid-19 Thailand dikenali ChulaCov19 dijangka tersedia pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Wakil jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata, calon vaksin, yang dibangunkan Universiti Chulalongkorn itu sedang di fasa ketiga ujian klinikal dan menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

"Jika terbukti berjaya, Thailand mungkin menjadi negara pertama di Asean menghasilkan vaksin Covid-19.

"Pasukan penyelidik (Universiti Chulalongkorn) berharap menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan, negara sudah mula mengeluarkan dos vaksinnya sendiri," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini, hari ini .

ChulaCov19 direka dan dibangunkan sekumpulan penyelidik Thailand yang bekerjasama dengan Profesor Universiti Pennsylvania Drew Weissman.

Selain ChulaCov19, pada September Thailand juga akan memulakan ujian ke atas manusia menggunakan vaksin Covid-19 berasaskan tumbuhan dan dijangka siap tahun depan.

Vaksin subunit itu dibangunkan Pusat Penyelidikan Vaksin Chulalongkorn University dan Baiya Phytopharm Co Ltd (Baiya Phytopharm).

Sementara itu, angka kematian Covid-19 Thailand mencecah 10,000, semalam, selepas 297 orang lagi meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Setakat ini, Covid-19 sudah meragut 10,085 nyawa sejak ia dikesan di Thailand Januari tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 8:27 AM