Hazira Ahmad

Bachok: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan hampir RM60 juta bagi tujuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 bagi mengurangkan kebergantungan bekalan vaksin dari luar negara.

Timbalan Menteri MOSTI Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM54 juta dibelanjakan untuk penyelidikan di Institut Genome Malaysia (MGI).

Katanya, selain daripada itu, pihaknya juga memperuntukkan RM2.5 juta untuk kumpulan pengkaji pembangunan vaksin yang menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) dari Universiti Malaya (UM), manakala RM2.5 lagi bagi pembangunan vaksin dari toksin kuman yang dinyahaktifkan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Sebelum ini, kerajaan sudah membelanjakan dalam jumlah yang besar untuk pembelian vaksin iaitu lebih daripada RM4 bilion bagi membeli vaksin dari luar negara dan ia sangat rugi hanya semata-mata menjadi pembeli sahaja.

"Dalam proses R&D vaksin, pihak kami menjangkakan akan mula mengeluarkan hasil kajian secara tempatan antara tempoh dua hingga lima tahun supaya negara tidak selama-lamanya bergantung kepada vaksin daripada luar negara.

"MOSTI ditugaskan untuk mencari jalan bagi bekalan vaksin pada masa hadapan kerana tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada pembelian vaksin dari negara luar berikutan Malaysia juga mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan vaksin secara tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Perasmian Program Mobilisasi Vaksin Komuniti Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang Fasa 8.0 Tahun 2021 di Pantai Senok, Bachok, di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan Dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mohamood.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, dalam proses pembangunan vaksin, pihaknya menjalankan Diplomasi Sains dengan negara luar termasuklah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand untuk kajian vaksin jenis mRNA.

"Universiti Chulalongkorn, Thailand adalah antara perintis dan pihak kami sedang berbincang dengan pakar saintis yang juga pengasas pembangunan vaksin jenis mRNA.

"Justeru itu, jalinan hubungan antarabangsa antara MOSTI dengan pihak luar memainkan peranan yang sangat penting untuk Diplomasi Sains di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan dan misi pihaknya, supaya Malaysia menjadi pengeluar dan pengimport vaksin di masa akan datang disebabkan pasaran vaksin dalam kalangan negara-negara Islam amat besar.

"Dalam masa sama, kita juga mengharapkan dengan pembabitan awal daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia dapat memberi manfaat kerana

masyarakat Islam lebih yakin sekiranya vaksin dikeluarkan oleh sebuah negara Islam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:21 PM