Seorang lelaki menerima vaksin Covid-19 di Jakarta, Indonesia. - FOTO EPA
Seorang lelaki menerima vaksin Covid-19 di Jakarta, Indonesia. - FOTO EPA
Agensi

Jakarta: Pakar vaksin Indonesia, Dr Dirga Sakti Rambe menyatakan bahawa antibodi dalam tubuh yang dihasilkan selepas pengambilan vaksin Covid-19 boleh menurun dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua, namun ia masih memberi perlindungan optimum.

Katanya, walaupun menurun, namun antibodi yang ada masih mampu memberikan perlindungan dari Covid-19.

"Selepas enam bulan mendapat vaksin, antibodi akan menurun namun kita masih mendapat perlindungan," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Dirga berkata, selepas enam bulan menerima vaksin, tubuh manusia memiliki sel memori yang akan direspons dengan cepat oleh tubuh, sekiranya terdedah dengan virus Covid-19.

"Sel memori akan aktif dan tubuh memberi tindak balas dengan membuat lonjakan antibodi sehingga individu itu tetap dlindungi," katanya.

Berkaitan pemberian dos ketiga, menurutnya, dos tambahan hanya diberikan kepada kakitangan kesihatan.

"Mereka adalah golongan paling berisiko terdedah dengan Covid-19

"Untuk orang awam, kita perlu memberi tumpuan kepada pemberian vaksin kepada semua yang layak terlebih dahulu, dan bukan memikirkan dos tambahan," katanya.

Sementara itu, Indonesia merekodkan 35,764 kes baru Covid-19 dengan 1,739 kematian dalam tempoh 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:28 PM