ORANG ramai menunggu di terminal bas selepas pihak kerajaan mengarah wilayah Bengal Barat ditutup selama dua minggu bermula hari ini untuk mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP
ORANG ramai menunggu di terminal bas selepas pihak kerajaan mengarah wilayah Bengal Barat ditutup selama dua minggu bermula hari ini untuk mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP
AFP

Kolkata: Wilayah di India, Bengal Barat diarahkan ditutup selama dua minggu bermula hari ini untuk mengekang penularan Covid-19 yang dilihat terus memuncak di negara berkenaan.

Semua pejabat, kedai dan pengangkutan awam dihentikan operasi selama 15 hari selepas wilayah itu melaporkan peningkatan terbesar dalam angka kematian dan jangkitan.

Bengal Barat bersama sejumlah negeri di selatan India merekodkan lonjakan Covid-19 yang menjadikan jumlah jangkitan negara itu hampir kepada 25 juta dengan lebih dari 265,000 kematian.

Jenis varian yang dikesan di India menjadi kebimbangan global sebagaimana diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bengal Barat menyumbang 21,000 dari 326,000 kes India yang dilaporkan pada hari ini dan hospital di negeri ini dibanjiri pesakit.

Perdana Menteri Narendra Modi menarik puluhan ribu orang untuk melakukan demonstrasi di wilayah itu bulan lalu menjelang pilihan raya negeri di mana parti nasionalisnya yang berkuasa gagal mengalahkan ketua menteri, Mamata Banerjee.

Banerjee juga mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menjelang pemilihan dan pada Jumaat lalu, saudaranya meninggal akibat Covid-19 di hospital.

Banyak pakar mengatakan bahawa kempen pilihan raya adalah 'penyebar utama'.

Di Goa, lebih 70 orang maut dalam tempoh empat hari akibat kekurangan oksigen di hospital, kata sebuah parti pembangkang di wilayah itu.

Mahkamah memerintahkan agar bekalan oksigen kecemasan dihantar ke Hospital Kolej Perubatan Goa untuk mengelakkan lebih banyak kematian.

Parti pembangkang utama negeri itu mengatakan bahawa pesakit mati kerana kekurangan oksigen tetapi kerajaan mengatakan punca kematian belum dapat ditentukan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Goa mengatakan mereka telah meminta kerajaan pusat untuk menambah bekalan oksigen hampir dua kali ganda menjadi 40 tan sehari.

Sekatan pergerakan di Goa dilonggarkan sedikit sehingga gelombang terbaru ini.

Virus ini kini menyebabkan lebih dari 60 kematian sehari di rantau ini dan Goa menjadi antara lokasi kadar jangkitan tertinggi di India.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:52 PM