KANE Tanaka. FOTO Guinness World Records
KANE Tanaka. FOTO Guinness World Records
AFP

Tokyo: Individu tertua di dunia, seorang wanita Jepun berusia 118 tahun, membatalkan penyertaan dalam acara larian obor sempena kejohanan Olimpik berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Kane Tanaka dari Fukuoka merancang menggunakan kerusi roda untuk membawa obor ketika ia melalui bandar berkenaan Selasa nanti.

Namun, keluarganya mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa Tanaka tidak akan menyertai acara berkenaan kerana bimbangkan penularan Covid-19.

Kerajaan Jepun melanjutkan darurat di Tokyo dan beberapa kawasan lain selain melaksanakan sekatan di Fukuoka.

Ia akan berlangsung sehingga 31 Mei nanti.

"Rumah penjagaan tempat Tanaka menetap tidak membenarkan sebarang lawatan bagi mengelakkan kuman memasuki premis berkenaan.

"Berdasarkan keadaan semasa, dukacita kami maklumkan bahawa Tanaka tidak dapat menyertai acara ini," kata keluarganya.

Keluarganya berkata, mereka sentiasa menantikan peluang berharga dan jarang berlaku itu serta mahu orang ramai terinspirasi dengan Tanaka yang lahir pada 2 Januari 1903 dan kini berada dalam keadaan sihat.

Pandemik yang berlaku di Jepun dikatakan sedikit terkawal dengan hanya 10,500 kematian.

Namun, pemberian vaksin Covid-19 dilihat terlalu perlahan dan beberapa kawasan mencatatkan jangkitan daripada varian baharu yang lebih mudah merebak.

Kerajaan Jepun dan penganjur Olimpik bertegas untuk meneruskan kejohanan Olimpik dalam keadaan selamat namun, undian yang dilakukan mendapati rakyat Jepun menyokong ia dibatalkan atau ditangguhkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:25 PM