PETUGAS kesihatan melakukan ujian calitan kepada orang awam di Bangkok, Thailand. FOTO EPA
PETUGAS kesihatan melakukan ujian calitan kepada orang awam di Bangkok, Thailand. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Jumlah pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan terus meningkat selepas ia merekodkan 1,583 kes jangkitan baharu dan 15 kematian hari ini.

Walaupun kes dilihat sedikit menurun, namun jumlah pesakit yang berada dalam keadaan kritikal terus meningkat dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand, Dr Taweesin Visanuyothin berkata, semua kematian membabitkan rakyat tempatan iaitu sembilan lelaki dan enam perempuan berusia antara 29 dan 93 tahun.

Katanya, jumlah kes jangkitan harian menyaksikan trend menurun daripada 2,174 kepada 2,001 pada Selasa dan 1,864 (Khamis).

Namun, statistik menunjukkan pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat daripada 628 dan 169 pada Isnin kepada 871 dan 250 pada Khamis.

"Walaupun jumlah kes yang direkodkan menurun, namun kita masih perlu terus berwaspada kerana terdapat kluster baharu dikesan di Bangkok dan wilayah lain seperti Ranong yang dikaitkan dengan kelab snuker dan pusat perjudian haram.

"Selain itu, jumlah kematian masih kekal tinggi dan adalah penting untuk terus mengelakkan sebarang perhimpunan dan mengekalkan langkah kawalan dan penjarakan fizikal," katanya.

Taweesin berkata, wabak terbaharu berkaitan pusat hiburan di Bangkok mencatatkan 36,290 kes dan 109 kematian.

Ia merebak ke lebih banyak wilayah selepas mereka yang dijangkiti virus berkenaan pulang ke kampung pada cuti perayaan Songkran pertengahan April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 9:24 PM