HOSPITAL Tan Tock Seng. FOTO AFP
HOSPITAL Tan Tock Seng. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Empat wad di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) telah ditutup susulan pengesanan kluster baharu dengan 13 kes jangkitan Covid-19.

Singapura dijangka mengesan lebih banyak kes Covid-19 berkaitan kluster ini beberapa hari lagi dengan kemungkinan mengambil langkah lebih ketat jika jangkitannya lebih meluas, kata Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, semalam.

Menurutnya, semua ruang awam yang dikunjungi kes Covid-19 ini akan ditutup selama dua hari bagi kerja pembersihan.

Ini akan mengurangkan kemungkinan virus itu menular dalam masyarakat yang tidak dikesan di samping membantu memudahkan ujian bagi kakitangan di situ, katanya seperti dilaporkan Berita Harian Singapura.

Kementerian Kesihatan (MOH) juga akan menjalankan ujian pemantauan buat pesakit yang baru-baru ini dibenarkan pulang dari TTSH serta pengunjung yang melawat hospital itu pada atau selepas 18 April.

Semua kontak rapat kes yang dikenal pasti termasuk pesakit, pelawat dan kakitangan yang telah ke wad terjejas sudah dikuarantin.

Kelompok TTSH terdiri daripada lima kakitangan - dua doktor, seorang jururawat, seorang pembantu jagaan kesihatan dan seorang pekerja pembersihan selain lapan pesakit.

Empat kakitangan dan seorang pesakit yang positif Covid-19 dalam kluster ini telah menjalani vaksinasi penuh manakala seorang pesakit pula sudah mendapatkan suntikan pertama.

Republik itu melaporkan lebih 61,000 kes direkodkan sejak wabak itu melanda tahun lalu, sebahagian besar membabitkan jangkitan di asrama pekerja asing, di mana 30 kematian dicatatkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 8:43 PM