Hadi Tjahjanto (tengah) umum kerajaan Indonesia akan memberi penghargaan dan kenaikan pangkat kepada 53 kru KRI Nanggala-402. FOTO AFP
Hadi Tjahjanto (tengah) umum kerajaan Indonesia akan memberi penghargaan dan kenaikan pangkat kepada 53 kru KRI Nanggala-402. FOTO AFP
Agensi

Bali: Kerajaan Indonesia akan memberikan penghargaan dan kenaikan pangkat kepada 53 kru KRI Nanggala-402 yang terkorban.

Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto berkata, penghargaan dan kenaikan pangkat ini akan diajukan secara berperingkat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

"Kita akan berikan penghargaan kepada perajurit yang terkorban dan ia akan disampaikan kepada Presiden secara berperingkat. Penghargaan yang diberikan berupa kenaikan pangkat," katanay dalam sidang media hari ini.

Hadi berkata, penghargaan itu akan diproses dalam kadar segera.

"Atas nama seluruh perajurit dan keluarga besar TNI, selaku Panglima TNI, saya sampaikan rasa dukacita yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga anggota yang gugur," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Dalam sidang media berkenaan, Hadi turut mengesahkan bahawa semua 53 kru kapal selam berkenaan terkorban.

"Berdasarkan bukti-bukti yang nyata, saya maklumkan bahawa KRI Nanggala-402 telah karam dan seluruh kru dalam kapal berkenaan terkorban," katanya.

Aset dari Singapura, MV Swift Rescue telah menurunkan ROV dan melakukan carian di dasar laut secara visual menggunakan kamera.

Mereka mengesahkan bahawa beberapa serpihan yang ditemui adalah dari KRI Nanggala-402.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 9:04 PM