KAPAL selam TNI KRI Nanggala-402 sebelum tenggelam di dasar laut perairan Bali. FOTO Indonesia Military / AFP
KAPAL selam TNI KRI Nanggala-402 sebelum tenggelam di dasar laut perairan Bali. FOTO Indonesia Military / AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Pada 21 April lalu, dunia dikejutkan dengan insiden kehilangan kapal selam Tentera Indonesia (TNI) KRI Nanggala-402 di utara perairan Bali. Ketika kejadian, ia menyertai latihan ketenteraan yang turut disertai 21 kapal TNI lagi bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam yang lain.

Namun - pada 25 April - apa yang dibimbangkan menjadi kenyataan apabila Ketua Angkatan Laut TNI, Laksamana Yudo Margono menjelaskan KRI Nanggala-402 ditemukan pada kedalaman 838 meter. Ia dipercayai terbelah kepada tiga bahagian dan semua 53 krunya terkorban.

Berita ini sedih ini seakan-akan mengulangi tragedi kapal selam berkuasa nuklear milik tentera Rusia, Kursk, pada 12 Ogos 2000. Ia terbakar dan meletup di bawah laut ketika menyertai satu latihan ketenteraan di Laut Barents di luar perairan Norway.

Seramai 118 krunya terkorban.

Seperti KRI Nanggala-402, Kursk juga tenggelam ketika menyertai latihan ketenteraan. Namun, Kursk jauh lebih besar berbanding dengan kapal selam Indonesia. Sebagai perbandingan, Kursk adalah dua kali lebih panjang daripada pesawat jet jumbo 747. Ia juga adalah antara kapal selam terbesar milik Rusia.

Sama seperti kapal selam lain dalam kelasnya, Kursk dibina untuk menghancurkan kapal utama milik musuh terutama kapal pengangkut pesawat. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menggelar kapal- selam jenis ini sebagai Oscar II.

Bagi menandingi kapal selam milik Amerika Syarikat, setiap kapal selam Rusia dalam kelas ini termasuk Kursk dikuasakan dengan dua reaktor nuklear membolehkannya ia bergerak pada kelajuan 33 knot di dasar laut. Sebagai perbandingan, KRI Nanggala-402 dikuasakan dengan tenaga diesel elektrik dengan kelajuan 21.5 knot.

Ketika latihan berkenaan, Kursk yang tidak pernah dijangka akan tenggelam turut dibenarkan untuk membawa 21 torpedo.

Tapi apa yang menyebabkan kapal ini tenggelam? Program Second to Disaster National Geographic merungkai persoalan ini dengan mengetengahkan hasil siasatan bahawa nahas berpunca daripada letupan ketika kru bersedia untuk melancarkan satu torpedo olok-olok dalam latihan itu.

Kebocoran high-test peroxide (HTP) menyebabkan minyak kerosin pada torpedo itu meletup. Letupan pada tiub atau ruangan untuk pelancaran torpedo itu menyebabkan kebakaran di antara kompartmen pertama dan kedua kapal selam. Ia menyebabkan semua kru di ruangan berkenaan termasuk di bilik kawalan terkorban.

Secara automatik, suhu yang meningkat meletupkan lima dan tujuh kepala peledak (warhead) torpedo. Letupan kali kedua adalah amat kuat dan dapat didengar oleh kapal lain yang menyertai latihan ketenteraan itu. Ia adalah 250 kali lebih kuat daripada letupan pertama dan bermagnitud 4.2 dan boleh dikesan sehingga ke Alaska.

Letupan kedua itu memusnahkan dinding sekat (bulkhead) di tiga kompartmen dan semua dek serta menyebabkan lubang di badan kapal. Ia turut memusnahkan kompartmen keempat dan membunuh semua kru di situ sehingga ke kompartmen kelima yang menempatkan reaktor nuklear. Bagaimanapun, reaktor berkenaan berhenti beroperasi dengan selamat sekali gus mengelak malapetaka lebih besar.

Namun, tidak semua kru Kursk terkorban selepas dua letupan itu. Siasatan mendapati bahawa 23 orang terselamat dan memasuki kompartmen kesembilan. Ia disokong dengan penemuan nota yang tulis oleh Leftenan Dmitri Kolesnikov yang menyatakan nama 23 nama kru yang selamat.

Bagaimanapun, hayat mereka tidak panjang apabila sekali lagi kebakaran berlaku di ruangan itu. Ia berpunca daripada cubaan kru untuk menggunakan peralatan untuk mengurangkan karbon dioksida untuk memanjangkan bekalan oksigen.

Berbalik kepada KRI Nanggala-402, ia kini masih terdampar di dasar laut. Indonesia sudah mendapat tawaran daripada beberapa pihak untuk mengangkat bangkai kapal selam itu. Namun, sama seperti mana-mana tragedi kapal selam, usaha ini mengambil masa yang lama.

Hanya selepas bangkai kapal dinaikkan, baru pasukan penyiasat dapat menjalankan siasatan terperinci mengenai punca nahas. Dalam tragedi Kursk - umpamanya - hasil siasatan hanya diumumkan dua tahun selepas insiden berkenaan.

Sehingga detik itu, marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh kru KRI Nanggala-402 yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:15 AM