Orang ramai melihat operasi menyelamat dilakukan pasukan penyelamat selepas feri terbalik di Narayanganj, Dhaka, Bangladesh. FOTO EPA
Orang ramai melihat operasi menyelamat dilakukan pasukan penyelamat selepas feri terbalik di Narayanganj, Dhaka, Bangladesh. FOTO EPA
BERNAMA

Dhaka: Sebuah feri membawa lebih 50 penumpang terbalik di Bangladesh pada petang Ahad, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima wanita maut manakala puluhan yang lain masih hilang.

Feri penumpang yang menuju ke Munshiganj itu karam di Sungai Shitalakshya di kota Narayanganj dipercayai akibat dilanggar sebuah kapal kargo, kata pegawai kepada Agensi Anadolu.

"Menurut penduduk tempatan, terdapat seramai 100 orang di dalam feri itu. Namun sumber rasmi kami memberitahu feri itu membawa sekurang-kurangnya 50 penumpang. Oleh itu, jumlah sebenar penumpang dan mangsa yang hilang hanya dapat disahkan selepas operasi menyelamat selesai," kata pegawai Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam Narayanganj, Abul Kalam.

Beliau menambah, sebuah kapal penyelamat sudah berada di lokasi kejadian dan lebih banyak bantuan sedang dalam perjalanan untuk membantu misi mencari dan menyelamat.

Misi itu mengalami kesukaran kerana berlaku ribut Norwesters.

Sementara itu, mayat lima wanita ditemukan pekerja penyelamat dan beberapa mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke darat.

Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan, kata pegawai bomba.

Berdasarkan maklumat daripada penumpang yang selamat, feri itu didakwa membawa penumpang melebihi had.

Dalam perkembangan lain, pegawai bomba di pejabat wilayah Rangpur memberitahu Anadolu pada Ahad sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam ribut Norwesters.

Kebanyakan mangsa maut akibat rumah mereka runtuh dan dihempap pokok tumbang. Kejadian turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di kebanyakan daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 2:38 PM