GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Jakarta: Baru dua hari keluar dari penjara, seorang lelaki di Makassar, Sulawesi Selatan sekali lagi menjadi buruan polis selepas mengelar isteri dan ibu bapa mentuanya.

Ketiga-tiga mangsa ditemui berlumuran darah dan kini dilaporkan kritikal di hospital.

Detik News melaporkan jurucakap polis di Panakkukang Ahmad Halim berkata, mangsa adalah isteri suspek, Selfi, 30, dan ibu bapa mentuanya iaitu Alimuddin, 62, dan Salma, 60.

"Kejadian berlaku di rumah mangsa di wilayah Panakkukang, Kota Makassar jam 12.40 tengah hari ketika penduduk sekitar menunaikan solat Jumaat.

"Mangsa dilaporkan kritikal dan kami masih menunggu laporan daripada hospital berikutan ada mengatakan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, polis masih menyiasat motif serangan itu.

Menurutnya, suspek dikatakan baru dua hari dibebaskan dari penjara atas kesalahan bunuh.

"Belum tahu motifnya, suspek baru dua hari keluar dari penjara berikutan terbabit kes pembunuhan di Jeneponto.

Ketika ini, pihak berkuasa sedang menjalankan operasi besar-besaran bagi menangkap suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:59 AM