Mahmoud Abbas ketika menyampaikan ucapan secara maya dalam Perhimpunan Agung PBB di New York City. FOTO EPA.
Mahmoud Abbas ketika menyampaikan ucapan secara maya dalam Perhimpunan Agung PBB di New York City. FOTO EPA.
AFP

New York: Presiden Palestin Mahmoud Abbas memberi tempoh setahun kepada Israel untuk keluar daripada wilayah diduduki atau kerajaannya tidak akan mengiktiraf negara itu berdasarkan garis pra sempadan 1967.

Ketika berucap secara maya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, Abbas turut meminta Setiausaha Agung pertubuhan itu, Antonio Guterres untuk mengadakan persidangan damai antarabangsa.

"Kita perlu nyatakan, Israel yang menjajah, mempunyai satu tahun untuk keluar daripada wilayah Palestin yang diduduki pada 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur," katanya.

Abbas berkata, rakyat Palestin bersedia 'bekerja sepanjang tahun' untuk menyelesaikan status akhir negara Israel dan Palestin selaras resolusi PBB.

"Tetapi jika ini tidak dapat dicapai, kenapa perlu kekalkan pengiktirafan Israel berdasarkan sempadan 1967?" katanya.

Tambah Abbas, rakyatnya sanggup ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung isu perundangan dalam pendudukan wilayah Palestin.

Dalam pada itu, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan membidas tuntutan Abbas dengan berkata, "ia sekali sekali lagi menunjukkan beliau tidak lagi relevan."

"Mereka yang benar-benar menyokong rundingan dan perdamaian tidak akan mengancam dengan tuntutan khayalan menerusi platform PBB seperti yang beliau lakukan," katanya.

Proses perdamaian bagi penyelesaian dua negara di Timur Tengah itu menemui jalan buntu selama bertahun-tahun.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 10:59 AM