Carmen Dell'Orefice. FOTO Facebook
Carmen Dell'Orefice. FOTO Facebook
Agensi

New York City: Pada usianya 92 tahun, warga emas ini masih aktif dalam bidang peragaan industri fesyen sekali gus muncul sebagai model tertua dunia.

Carmen Dell'Orefice mula mencipta nama dalam bidang berkenaan pada usianya 13 tahun selepas bertemu dengan isteri jurugambar Herman Landschoff ketika menaiki bas ke kelas balet.

Namun, dia mula dikenali selepas dua tahun apabila menghiasi muka depan Majalah Vogue buat kali pertama, selepas menjadi model kegemaran jurugambar Erwin Blumenfeld.

Tahun lalu, pada usia 92 tahun, wajah Carmen menghiasi kulit Majalah Vogue Czechoslovakia.

Carmen berkata, dia perlu bekerja keras walaupun pada usia senja bagi menyara hidupnya.

"Lelaki dan wanita harus menjaga diri mereka sendiri dan menyayangi diri mereka sendiri.

"Keadaan kewangan yang tidak menentu menyebabkan saya terpaksa kembali ke pentas peragaan pada tahun 1978 dan dalam masa beberapa tahun sahaja saya kembali menghiasi muka depan majalah fesyen," katanya.

Carmen berkata, dia membesar bersama ibunya di New York dalam keluarganya yang bergelut mencari sumber pendapatan.

"Akibatnya saya kekurangan zat makanan sehingga jurugambar terpaksa menyematkan pakaian dan menyumbat lengkung badan dengan tisu.

"Kami juga tiada telefon dalam rumah, jadi saya terpaksa mengupah orang untuk memberitahu tentang penggambaran.

"Kerja peragaan saya tidak mencukupi untuk menyara keluarga jadi saya dan ibu bekerja sebagai tukang jahit untuk menampung kehidupan kami," katanya.

Katanya, dia berkahwin dengan Bill Miles pada awal 1950-an, seorang lelaki yang mengeksploitasi kerjayanya dengan mengambil cek agensi model miliknya dan hanya memberikannya AS$50 (RM232.17) elaun daripada pendapatannya.

Mereka berpisah sebelum Carmen berkahwin dengan jurugambar Richard Heimann, yang meninggalkannya selepas dia memutuskan untuk bersara daripada peragaan pada tahun 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 1:01 PM