ORANG ramai melihat kebakaran hutan di New Peramos, dekat Athens, pada Julai 2023. FOTO AFP
ORANG ramai melihat kebakaran hutan di New Peramos, dekat Athens, pada Julai 2023. FOTO AFP
AFP

Washington: Tahun 2023 adalah yang paling panas dalam sejarah dengan peningkatan suhu permukaan Bumi hampir melepasi ambang kritikal 1.5 darjah Celsius, kata pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa.

Perubahan iklim memperhebat gelombang haba, kemarau dan kebakaran hutan di seluruh planet, dan termometer global merekodkan peningkatan 1.48 Celsius di atas penanda aras praindustri, lapor Perkhidmatan Perubahan Iklim (C3S), Copernicus.

"Ia juga tahun pertama dengan semua hari lebih satu darjah lebih panas daripada tempoh praindustri.

"Suhu semasa 2023 berkemungkinan melebihi suhu mana-mana tempoh dalam sekurang-kurangnya 100,000 tahun yang lalu," kata timbalan ketua Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S), Samantha Burgess.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata, 2023 hanyalah 'pratonton masa depan terhadap malapetaka yang menanti kita, jika tidak bertindak sekarang", menurut jurucakapnya.

Hampir separuh tahun 2023 melebihi had 1.5 darjah Celsius, melebihi kesan iklim yang mana lebih berkemungkinan menjadi malapetaka, menurut saintis.

Tahun 2023 menyaksikan kebakaran besar di Kanada, kemarau yang melampau di Tanduk Afrika (Horn of Africa) atau Timur Tengah, gelombang panas musim panas yang belum pernah berlaku sebelum ini di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China, bersama-sama dengan rekod musim sejuk yang paling panas di Australia dan Amerika Selatan.

Penemuan Copernicus adalah sebulan selepas perjanjian iklim dicapai di COP28 di Dubai yang menyeru peralihan beransur-ansur daripada bahan api fosil, punca utama pemanasan iklim.

"Kami sangat perlu mengurangkan penggunaan bahan api fosil dengan cepat dan mencapai sifar bersih untuk memelihara iklim yang boleh didiami yang kita semua bergantung kepada," kata Profesor Sains Atmosfera di Universiti Leeds, John Marsham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:19 PM