Reuters

Washington: Dunia merekod hari paling panas pada Khamis, sekali gus memecahkan rekod tertinggi sebelumnya yang dicatat pada Isnin dan Selasa, menurut data Pusat Ramalan Alam Sekitar Kebangsaan Amerika Syarikat (AS)

Purata suhu global mencecah 17.23 darjah Celsius, kelmarin, menurut agensi kerajaan itu.

Rekod itu dicatat beberapa hari selepas gelombang panas yang teruk melanda AS dan China, sementara lebih 100 orang maut di Mexico ketika suhu terus meningkat secara global.

Kelmarin, Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah berkata, Jun adalah bulan paling panas yang memecah rekod bulan sama pada 2019.

"Rekod sedemikian adalah akibat yang diramalkan berlaku kesan peningkatan suhu El Nino jangka pendek yang muncul daripada trend pemanasan global jangka panjang, akibat pelepasan gas rumah hijau," kata saintis utama bagi sains iklim, Berkeley Earth, Robert Rohde di Twitter.

Corak cuaca El Nino muncul tahun ini membawa bersama suhu permukaan laut yang hangat di timur dan tengah Lautan Pasifik.

Selepas rekod suhu tertinggi harian pada Ogos 2016 dipecahkan buat pertama kali, Isnin lalu, beberapa saintis meramalkan lebih banyak lagi hari panas melampau akan direkodkan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 9:55 AM