PESAWAT Saudi Airlines terpaksa berpatah balik gara-gara seorang penumpang wanita tertinggal anaknya yang masih bayi di terminal. FOTO/AGENSI
PESAWAT Saudi Airlines terpaksa berpatah balik gara-gara seorang penumpang wanita tertinggal anaknya yang masih bayi di terminal. FOTO/AGENSI
Agensi

Jeddah: Sebuah pesawat Saudi Airlines dilaporkan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang di Jeddah selepas seorang penumpang wanita tertinggal anaknya yang masih bayi di terminal.

Mail Online yang memetik laporan Gulf News melaporkan, pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur sebelum wanita itu menyedari anaknya hilang dan terus memberitahu kru kabin.

Juruterbang itu kemudiannya meminta kebenaran untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz.

Menurut Gulf News, penumpang wanita itu tertinggal anaknya di ruangan pelepasan di lapangan terbang berkenaan.

Kejadian pelik itu dipercayai berlaku pada Sabtu lalu.

Laman web penjejak penerbangan menunjukkan sebuah pesawat Saudi Airlines dari Jeddah ke Kuala Lumpur berlepas sejak lewat daripada jadual pada Sabtu lalu dan tidak pasti adakah itu pesawat yang sama.

Tidak jelas sama ada pesawat itu sudah berlepas atau sedang bergerak ke landasan ketika wanita itu menyedari anaknya tertinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 10:47 AM