PESAWAT United Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT United Airlines. FOTO fail AFP
Reuters

Trenton: Kemunculan seekor ular hidup di dalam sebuah pesawat dari Florida ketika ia mendarat di New Jersey sehingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan penumpang.

Seorang penumpang berkata, semua penumpang mula menjerit dan mengangkat kaki mereka apabila menyedari ular itu muncul ketika pesawat itu bergerak dari landasan menuju ke pintu pelepasan.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan New York dan New Jersey, Cheryl Ann Albiez berkata, reptilia dikenal pasti sebagai spesies ular yang tidak berbahaya itu tiba-tiba muncul dalam ruangan penumpang kelas perniagaan pesawat 2038 United Airlines.

Katanya, ia muncul ketika pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, Isnin lalu.

"Tiada kecederaan dan operasi lapangan terbang tidak terjejas . Pesawat itu kemudiannya berlepas dari Newark Liberty.

"Haiwan itu berjaya dikeluarkan oleh pegawai kawalan haiwan lapangan terbang dan pegawai polis Pihak Berkuasa Penerbangan," katanya.

Sementara itu, jurucakap United Airlines berkata, kru kabin menyedari insiden itu selepas dimaklumkan penumpang sebelum menghubungi pihak berkuasa berkaitan.

Bagaimanapun butiran lanjut insiden itu termasuk pihak mana yang bertanggungjawab membawa reptilia itu memasuki penerbangan komersial tidak didedahkan.

Insiden ini bukan kali pertama berlaku apabila seekor ular besar pernah ditemukan merayap melalui kabin penumpang yang dalam penerbangan Aeromexico ke Mexico City pada 2016.

Seekor ular sawa juga pernah dikesan penumpang yang menyeludup di bahagian sayap pesawat dalam penerbangan dari Australia ke Papua New Guinea pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 12:22 PM