SALAH seorang rakan sebilik mangsa bercakap ketika upacara memperingati mangsa kejadian cuba membunuh tiga penuntut kolej, kelahiran Palestin di Vermont. FOTO Reuters
SALAH seorang rakan sebilik mangsa bercakap ketika upacara memperingati mangsa kejadian cuba membunuh tiga penuntut kolej, kelahiran Palestin di Vermont. FOTO Reuters
AFP

New York: Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) didakwa pada Isnin atas pertuduhan cubaan membunuh tiga penuntut kolej, kelahiran Palestin, di Vermont.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai Jason Eaton, 48, didakwa menembak mangsa dalam jenayah yang disifatkan pihak berkuasa sebagai tindakan kebencian.

Peguam negara, Vermont, Sarah George berkata, belum ada bukti yang cukup untuk menyokong pertuduhan terhadap suspek.

"Tidak dinafikan ini adalah tindakan yang penuh kebencian," kata George kepada pemberita di Burlington, bandar timur laut AS di mana kejadian tembakan itu berlaku.

Polis berkata, lelaki bersenjata itu melangkah keluar dari anjung depan dan melepaskan tembakan ke arah mangsa ketika mereka berjalan di bandar, pada Sabtu.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan yang memuncak di AS berhubung perang Israel-Hamas.

Kampus kolej dan lokasi lain menyaksikan ancaman dan insiden keganasan yang semakin meningkat termasuk tindakan Islamofobia dan anti-Semitisme.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau terkejut dengan insiden tembakan itu.

"Tidak ada tempat untuk keganasan atau kebencian di AS, cukup!," kata Biden dalam satu kenyataan.

Serangan itu juga mencetuskan kemarahan dan kejutan dalam kalangan beberapa penggubal undang-undang AS.

Eaton ditangkap pada Ahad, dan hadir di hadapan hakim di mahkamah Burlington, semalam.

NBC melaporkan, Eaton mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Ketua Polis Burlington Jon Murad menerangkan bagaimana ejen penguat kuasa undang-undang menemukan Eaton apabila mereka mengetuk pintu pangsapurinya dan dia menjawab dengan berkata: "Saya sudah menunggu kamu".

Apabila ejen bertanya mengapa, Eaton berkata: "Saya mahu seorang peguam".

Dalam serbuan, pihak berkuasa menggeledah rumah lelaki itu dan merampas senjata serta peluru yang sepadan dengan yang ditemukan di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 11:36 AM