TENTERA Mexico berkawal di Ibu Pejabat Pejabat Pendakwa Raya Tamaulipas di Matamoros. FOTO AP
TENTERA Mexico berkawal di Ibu Pejabat Pejabat Pendakwa Raya Tamaulipas di Matamoros. FOTO AP
Reuters

Mexico City: Kartel dadah Mexico menyerahkan lima ahlinya sebagai 'permohonan maaf' atas penculikan empat warga Amerika Syarikat (AS) di bandar sempadan Matamoros, menurut media dan sumber yang biasa dengan siasatan itu.

Dua daripada warga AS, dan seorang wanita Mexico maut selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah warga AS, sejurus selepas ketibaan mereka di Matamoros pada Jumaat.

Empat warga AS itu ditemukan pada Isnin di pinggir bandar, di mana dua daripada mereka sudah meninggal dunia.

Pegawai Mexico memberikan identiti dua lelaki yang maut dikenali sebagai Shaeed Woodard dan Zindell Brown, kepada pegawai AS di Matamoros, pada Khamis, dan mereka dibawa melintasi sempadan ke AS, kata seorang saksi Reuters.

Dokumen dalaman kerajaan yang dilihat oleh Reuters menunjukkan satu kumpulan dalam Kartel Teluk di Mexico berkemungkinan bertanggungjawab terhadap penculikan itu dan lelaki bersenjata itu mungkin percaya orang Amerika menceroboh kawasan kumpulan itu.

Akhbar Mexico dan media sosial menyiarkan gambar surat yang dikaitkan dengan kumpulan berbeza dalam kartel di mana ia memohon maaf atas kejadian di Matamoros dan berkata, ia menyerahkan lima lelaki yang terbabit dalam penculikan itu.

Berdasarkan satu gambar, surat itu ditinggalkan bersama lima lelaki dalam keadaan tangan terikat di Matamoros.

Sumber Mexico yang biasa dengan penyiasatan itu mengesahkan penyerahan itu, menyatakan keraguan bahawa kelima-lima mereka adalah orang yang bertanggungjawab untuk serangan itu.

Pejabat peguam negara Tamaulipas, negeri di mana Matamoros terletak, enggan mengulas mengenai laporan itu.

Sumber Mexico berkata, bukti menunjukkan Woodard dan Brown mungkin mati akibat kecederaan yang mereka alami semasa serangan oleh lelaki bersenjata di Matamoros pada Jumaat.

Dua lagi rakan mereka yang terselamat sudah kembali ke AS, awal minggu ini.

Peguam negara di Tamaulipas pada Isnin berkata, penculikan empat orang itu berkemungkinan kes tersilap identiti, namun pihak berkuasa masih belum menyatakan dengan jelas sebab serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 1:30 PM