FORD Pinto milik Kyle ditemukan pada Disember 2021. FOTO AP
FORD Pinto milik Kyle ditemukan pada Disember 2021. FOTO AP
Agensi

Montgomery, Amerika Syarikat: Rangka manusia dalam kereta yang ditemukan di anak sungai di Alabama, tahun lalu, sah milik penuntut Universiti Auburn di Alabama, yang hilang pada 1976.

Polis berkata, penemuan itu akhirnya merungkai kes kehilangan yang membingungkan penyiasat hampir lima dekad.

Kyle Clinkscales, 22, kali terakhir dilihat masih hidup di sebuah bar tempat dia bekerja di bandar asalnya di LaGrange, Georgia, pada malam 27 Januari 1976.

Sebelum ini, ibunya, Louise Clinkscales pernah berkata, anaknya itu merancang memandu pulang ke sekolah di Alabama, kira-kira 35 batu (kira-kira 56 kilometer) jauhnya menggunakan Ford Pinto pada 1974, namun dia tidak pernah tiba sejak itu.

Penyiasat yang menangani kes itu bertungkus lumus mencari lelaki itu sehingga 7 Disember 2021, apabila seorang individu melihat Ford Pinto di anak sungai di Cusseta, Alabama.

Penyiasat turut menemui dompet, kad pengenalan, kad kredit dan rangka di dalam kereta itu.

Mereka menyerahkan rangka manusia itu kepada biro penyiasatan negeri Georgia untuk menjalankan analisis DNA sebelum pejabat syerif tempatan, baru-baru ini, mengumumkan tulang itu sepadan dengan milik Kyle.

Namun, punca dan cara kematian mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun, bapanya John, mahupun ibunya, Louise tidak dapat mendengar pengumuman mengenai penemuan itu apabila mereka masing-masing meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2007 dan pada 2021.

Rakan Kyle, Lauren Griffen berkata, ramai yang mengenalinya tidak pernah putus harapan untuk mengetahui nasibnya.

"Selalunya dia sangat pendiam. Tetapi dia sangat baik kepada semua orang.

"Semua orang sentiasa tertanya-tanya sama ada dia akan muncul di suatu tempat," katanya kepada agensi berita Atlanta NBC WXIA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:04 AM