ROBERT De Niro. FOTO Reuters
ROBERT De Niro. FOTO Reuters
AFP

New York: Wanita ditahan pada Isnin selepas didakwa menceroboh rumah milik pelakon, Robert De Niro di bandar ini kerana mahu mencuri hadiah Hari Natal.

Jurucakap Jabatan Polis New York (NYPD) berkata, suspek berusia 30 tahun itu dicekup oleh pegawai memasuki rumah De Niro di Manhattan, jam 2.45 pagi.

"Pegawai memasuki pangsapuri ke Upper East Side, dan mendapati wanita itu di dalam ruang tamu cuba mengambil harta benda," kata jurucakap itu.

ABC News memetik sumber penguat kuasa undang-undang sebagai berkata, polis melihat wanita itu meletakkan hadiah dari bawah pokok Krismas itu ke dalam begnya.

NBC News melaporkan De Niro, 79, datang di tingkat bawah dengan memakai jubah mandinya selepas mendengar ada kekecohan.

Bintang Taxi Driver, tidak cedera.

Jurucakap polis memberitahu AFP dalam satu kenyataan melalui e-mel, suspek mempunyai banyak rekod tangkapan pecah rumah.

"Wanita itu ditahan tanpa insiden dengan pertuduhan belum selesai. Siasatan sedang dijalankan," tambah jurucakap itu.

De Niro, dilahirkan dan dibesarkan di Manhattan dianggap sebagai salah seorang pelakon terhebat Amerika sepanjang zaman dan pernah memenangi dua Anugerah Akademi.

Beliau dinobatkan Pelakon Terbaik dalam anugerah itu bagi watak juara tinju kelas menengah Jake LaMotta dalam drama Raging Bull yang ditayangkan pada 1980-an dan Pelakon Pembantu Terbaik dalam filem The Godfather Part ll.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 11:27 AM