TANGKAP layar daripada video dikongsi pengguna Twitter.
TANGKAP layar daripada video dikongsi pengguna Twitter.
Agensi

Mexico City: Sebuah sekolah di Chiapas, Mexico cemas apabila 56 pelajar mengalami kelesuan melampau kerana disyaki diracun bahan asing dengan campuran kokain dan syabu.

Pelajar berusia 12 hingga 15 tahun itu kemudiannya terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Laporan media tempatan tidak menolak kemungkinan lebih 100 pelajar lain turut terjejas dengan kejadian itu.

Ibu bapa pelajar juga dipanggil ke sekolah berkenaan untuk membantu membawa anak masing-masing ke hospital.

Murid yang menjalani ujian kimia mengejutkan banyak pihak kerana didapati positif dadah.

Seorang daripadanya disahkan kritikal dan menerima rawatan lanjut di hospital berhampiran.

Pegawai daripada Pejabat Peguam Negeri sudah dihantar ke lokasi kejadian untuk menyiasat bagaimana dadah boleh dibawa masuk ke sekolah berkenaan.

Beberapa pelajar yang tiba di hospital bersama ibu bapa masing-masing dilihat dalam keadaan lemah dan terpaksa didukung.

Laporan berasingan menyebut ada pelajar yang menjadi lemah selepas dipercayai minum air mengandungi dadah, Jumaat lalu.

Wartawan, Janosik Garcia turut berkongsi suasana cemas menerusi Twitter dengan beberapa murid dalam keadaan khayal.

Video itu juga menunjukkan ibu bapa mendukung anak masing-masing di koridor sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 11:37 AM