JEREMY Lee Pauley. FOTO Agensi
JEREMY Lee Pauley. FOTO Agensi
AP

Philadelphia: Lelaki Pennsylvania didakwa atas tuduhan menyalahgunakan mayat, menerima harta curi dan tuduhan lain selepas polis mengatakan dia didakwa cuba membeli mayat manusia yang dicuri daripada seorang wanita Arkansas, untuk kemungkinan mayat itu dijual semula di Facebook (FB).

Polis Perbandaran Pennsboro Timur di Pennsylvania mengumumkan penahanan dan tuduhan terhadap Jeremy Lee Pauley, 40, dari Enola, Pennsylvania.

Pauley ditangkap pada 22 Julai, dan sudah hadir ke mahkamah pada Khamis.

Pada halaman akaun FB milik Pauley, dia menyiarkan gambar beg dan timbunan tulang paha, dengan kapsyen: "Mengambil lebih banyak tulang perubatan untuk disusun."

Halaman FB yang digunakannya untuk memasarkan bahagian mayat itu dipanggil The Grand Wunderkammer.

Bagi kes sama, jurucakap Universiti Sains Perubatan Arkansas (UAMS) di Little Rock mengesahkan bahawa mayat itu sudah didermakan ke kemudahan UAMS dan dihantar ke rumah mayat untuk pembakaran mayat.

Jurucakap UAMS itu, Leslie Taylor berkata mayat dihantar ke Arkansas Central Mortuary Services di Little Rock.

"Jasad itu kemudian didakwa dicuri oleh pekerja rumah mayat berkenaan iaitu seorang wanita sebelum mayat itu dijual.

"Kami sangat menghormati mereka yang menderma badan mereka (persetujuan untuk selepas kematian bagi kegunaan perubatan), dan kami terkejut bahawa perkara seperti itu boleh berlaku," kata Taylor.

Seorang wakil rumah mayat menutup talian telefon ketika wartawan cuba menghubungi pada Khamis.

Jurucakap FBI Little Rock Connor Hagan berkata, pejabat itu mengetahui insiden Pennsylvania berkenaan tetapi enggan mengulas mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

Tiada pertuduhan difailkan setakat Khamis terhadap wanita Arkansas itu.

Penyiasat mendakwa bahawa Pauley mengatur untuk membayar wanita di Arkansas itu AS$4,000 (kira-kira AS$17,903) untuk bahagian badan mayat melalui Facebook Messenger.

FB tidak membalas mesej yang meminta komen pada halaman Pauley, bagaimanapun, piawaian komuniti

FB melarang eksploitasi manusia dan secara jelas melarang penjualan seumpamanya melalui dasar komersial dan dasar pengiklanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 11:19 AM