AFP

Mexico City: Sejumlah 1.6 tan kokain dipercayai dari Colombia dirampas pihak berkuasa Mexico City dan ia disifatkan ia sebagai penemuan terbesar seumpama itu di ibu negara berkenaan.

Polis menemui dadah itu dalam petak tersembunyi di dalam dua treler di lebuh raya di pinggir bandar, kata ketua keselamatan ibu negara Omar Garcia Harfuch.

"Ia adalah rampasan kokain terbesar di Mexico City setakat ini," katanya kepada pemberita.

Menurut siasatan awal, kokain itu dibawa melalui laut dari Colombia ke pelabuhan Puerto Escondido di Mexico.

Sebahagian daripada kokain itu dipercayai untuk diedarkan di Mexico City dan sebahagian daripadanya di Amerika Syarikat, katanya.

Katanya, empat anggota kumpulan yang disyaki dari barat laut Mexico ditangkap berhubung rampasan itu.

Ia adalah operasi besar kedua yang menyasarkan kartel dadah di Mexico City, bulan ini.

Dua minggu lalu, polis menahan 14 suspek dan merampas senjata api serta dadah di selatan ibu negara.

Kebanyakan mereka yang ditahan kerana disyaki tergolong dalam kartel Sinaloa yang terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 10:00 AM