EL Chapo ketika ditahan.
EL Chapo ketika ditahan.
Reuters

NEW YORK: Raja dadah Mexico, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman yang pernah meloloskan diri dari penjara kawalan maksimum dengan mengorek terowong, empat tahun lalu, dijel seumur hidup oleh mahkamah di Amerika selepas didapati bersalah mengedar bertan-tan kokain, heroin dan ganja serta terbabit dalam pelbagai konspirasi pembunuhan.

Hakim Daerah Amerika Syarikat Brian Cogan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan ditambahkan 30 tahun yang diwajibkan mengikut undang-undang.

Guzman, 62, didapati bersalah oleh juri pada Februari lalu atas semua tuduhan berkenaan yang dilakukan ketika mengetuai Kartel Sinaloa, organisasi pengedaran dadah terbesar dan paling ganas Mexico.

Guzman yang nama jolokannya itu bermaksud ‘Si Pendek’ mempunyai reputasi ala Robin Hood yang menyebabkan penduduk tempatan menganggapnya wira. Dia kini dalam tahanan seorang diri di Penjara Metropolitan yang berkawalan maksimum di Manhattan.

Sebelum ditahan semula pada 2016, Guzman sudah dua kali melepaskan diri daripada penjara berkawalan maksimum di Mexico. Dia diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2017.

Guzman menjadi terkenal sebagai pengedar dadah pada 1980-an dengan mengorek terowong di bawah sempadan AS-Mexico yang membolehkannya mengedar bahan berkenaan lebih pantas berbanding saingannya.

Dia menjadi berkuasa pada 1990-an dan 2000-an sehingga akhirnya menjadi pemimpin terhebat Kartel Sinaloa.

Pendakwa AS mendakwa Guzman menjual dadah bernilai lebih AS$12 bilion (RM49 bilion) malah majalah Forbes pernah menyenaraikannya antara lelaki terkaya dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:06 PM