Justin Bieber.
Justin Bieber.
Agensi

Washington: Bintang pop, Justin Bieber dijangkiti Sindrom Ramsay Hunt yang disebabkan virus varicella zoster, virus sama yang menyebabkan cacar air.

Dalam keadaan biasa selepas seseorang pulih daripada cacar air, virus itu boleh kekal tidak aktif di dalam badan selama beberapa dekad, lapor New Delhi TV.

Profesor dan Pengarah Pusat Pembelajaran Anatomi Klinikal, Universiti Lancaster, Adam Taylor menerusi artikel diterbitkan dalam The Conversations berkata, ia biasanya bersembunyi dalam struktur yang dipanggil ganglion akar dorsal iaitu sel saraf di sebelah saraf tunjang.

Katanya, virus itu boleh aktif semula sama ada secara spontan atau disebabkan oleh pencetus yang diketahui, seperti jangkitan lain termasuk Covid-19 atau kerana sistem imun yang lemah atau tekanan.

Menurutnya, semua perkara ini mengubah kerja sistem imun, membolehkan virus varicella kembali aktif dan menyebabkan penyakit.

"Apabila virus diaktifkan semula, ia biasanya muncul dalam satu bahagian badan sebagai ruam dan lepuh yang menyakitkan yang dikenali sebagai kayap.

"Bagaimanapun, apabila pengaktifan semula virus itu menjejaskan saraf muka, ia dikenali sebagai Sindrom Ramsay Hunt. Nama itu sempena James Ramsay Hunt, doktor yang pertama kali menemui gangguan itu pada tahun 1907," katanya.

Sindrom Ramsey Hunt biasanya menjejaskan lima dalam 100,000 orang setiap tahun, dan sesiapa saja yang pernah menghidap cacar air berpotensi menghidapinya.

Menurutnya, gejala sindrom ini berbeza-beza mengikut kes, tetapi biasanya terdapat kelumpuhan saraf muka yang memberi kesan kepada otot yang mengawal ekspresi muka, menjadikan seseorang sukar tersenyum atau mengerutkan muka.

Ia juga mungkin mengehadkan keupayaan untuk seseorang mengerdipkan mata, malah menjadikan individu itu mengalami pertuturan yang tidak jelas dan perubahan deria rasa.

Ruam yang menyakitkan biasanya di sekitar telinga, pada bahagian yang sama dengan lumpuh dan ia petanda ia bukan jenis kelumpuhan muka lain.

Salah satu komplikasi sindrom Ramsay Hunt adalah potensi kerosakan pada kornea mata kerana mata kurang berkerdip.

Kaedah rawatan biasanya dengan ubat antivirus, steroid dan ubat penahan sakit dengan peluang untuk pulih sepenuhnya adalah tinggi, jika dimulakan lebih awal.

Jika rawatan diberikan dalam masa tiga hari selepas mengalami gejala, kira-kira 70 peratus orang pulih sepenuhnya.

Namun, jika sebaliknya, peluang sembuh menurun kepada 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 7:01 AM