VAKSIN cacar air langkah berkesan mencegah jangkitan dan komplikasinya.
VAKSIN cacar air langkah berkesan mencegah jangkitan dan komplikasinya.
KRIM antara rawatan cacar air untuk mengurangkan gatal.
KRIM antara rawatan cacar air untuk mengurangkan gatal.
DEMAM antara simptom cacar air.
DEMAM antara simptom cacar air.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Cacar air atau cengkering yang berpunca daripada virus varicella zoster adalah sejenis penyakit virus sangat mudah berjangkit.

Seseorang boleh dijangkiti virus ini daripada pesakit lain yang mengalami cacar air melalui sentuhan atau titisan cecair. Virus ini juga didapati di dalam bintik yang mengandungi cecair.

Cacar air berlainan daripada penyakit kayap walaupun kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh virus yang sama tetapi mempunyai simptom berbeza. Penyakit kayap dihidapi pesakit yang pernah dijangkiti cacar air dan akan menyerang apabila sistem imuniti pesakit ini rendah.

Pesakit boleh menjangkiti orang lain sehari atau dua hari sebelum ruam muncul, namun mereka yang dijangkiti mungkin tidak mengalami sebarang simptom hingga 10 ke 21 hari selepas bersentuhan dengan pesakit.

Bagaimanapun, cacar air dapat dicegah dengan proses vaksinasi. Ia langkah paling berkesan untuk mencegah penyakit ini dan komplikasinya. Di Malaysia, cacar air tidak termasuk dalam jadual imunisasi wajib untuk anak tapi ia tetap digalakkan.

Pentingnya vaksin

Pakar Kanak-kanak Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Kerry Vivienne Jayaprakasam berkata, vaksin cacar air patut diberikan kepada kanak-kanak pada umur 12 ke 15 bulan dengan dos tambahan diberikan di antara umur empat hingga enam tahun.

Katanya, untuk kanak-kanak yang berumur lebih daripada 13 tahun yang tidak pernah dijangkiti penyakit ini, mereka patut menerima dos pertama diikuti dos kedua empat ke lapan minggu kemudian.

Bagaimanapun, katanya, pesakit yang pernah mengalami penyakit cacar air atau kayap tidak memerlukan vaksin ini.

“Selain kanak-kanak melebihi umur 12 bulan, orang dewasa yang belum dijangkiti patut mendapatkan vaksin ini, namun ia tidak disyorkan untuk bayi bawah umur setahun.

“Vaksin ini juga tidak boleh diberikan kepada ibu mengandung. Wanita yang baru menerima vaksin cacar air pula digalakkan supaya tidak hamil dalam tempoh sebulan selepas mendapatkan vaksin berkenaan,” katanya

Menurut Dr Kerry, jika anak pernah dijangkiti cacar air atau menerima vaksin, tiada rawatan yang diperlukan manakala jika mereka sudah terdedah kepada pesakit cacar air tetapi belum menunjukkan tanda jangkitan, vaksin boleh didapati di klinik.

Dia berkata, vaksin itu perlu diberikan dalam jangka masa tiga ke lima hari selepas pendedahan bagi mengelak daripada dijangkiti atau mengurangkan kemudaratan penyakit.

Ini kerana, walaupun anak tidak terjangkit, vaksin cacar air akan mengelakkan penyakit itu pada masa hadapan.

Kumpulan pesakit berisiko tinggi yang tiada imuniti kepada virus varicella seperti ibu mengandung, pesakit yang bermasalah imuniti rendah atau mengalami penyakit kronik perlu menerima suntikan VZIG yang boleh diberi hingga 10 hari selepas pendedahan.

VZIG (varicella zoster immunoglobulin) ialah vaksin yang memberi imuniti pasif kepada pesakit yang terdedah kepada virus cacar air. Jika mereka mula menunjukkan simptom cacar air, mereka perlu memulakan ubat antivirus.

Ubat antivirus seperti acyclovir atau valacyclovir digunakan untuk merawat pesakit berisiko tinggi seperti pesakit remaja, dewasa dan ibu mengandung. Ia juga digunakan untuk kes yang serius dan yang mengalami komplikasi.

Menurutnya, penyakit ini tidak akan berulang untuk majoriti pesakit yang pernah dijangkiti, bagaimanapun ada beberapa pesakit yang boleh dijangkiti kali kedua terutama jika jangkitan pertama sangat ringan.

Jangkitan kali kedua mungkin tidak terlalu serius dan pesakit hanya akan mengalami sedikit ruam dan jangka masa penyakit juga lebih singkat.

“Manakala untuk pesakit yang sudah menerima dos pertama vaksin cacar air, mereka akan mendapat perlindungan sehingga 80 ke 85 peratus dan ini akan meningkat ke 98 peratus selepas dos kedua.

“Baki dua peratus pesakit yang mendapat cacar air akan mengalami jangkitan yang amat ringan. Oleh itu, pengambilan vaksin akan mencegah penyakit cacar air yang serius dan berkomplikasi,” katanya.

Tanda awal cacar air

Untuk kanak -kanak, tanda awal penyakit ialah ruam manakala pesakit dewasa mungkin akan mengalami demam, hilang selera makan, sakit otot atau pening sebelum ruam timbul.

Ruam merah yang akan berubah menjadi bintik mengandungi cecair dan sangat gatal itu akan berkuping, dan akhirnya tanggal meninggalkan parut.

• Demam

• Sakit otot

• Hilang selera makan

• Pening kepala

Dr Kerry berkata, ramai yang keliru antara ruam cacar air dengan demam campak tetapi ciri-ciri dan agihan ruam cacar air berbeza daripada demam ruam yang lain.

Katanya, penyakit cacar air lebih ketara dalam kalangan bayi

dan dewasa. Golongan pesakit ini mungkin mengalami ruam yang lebih banyak, demam yang berpanjangan dan komplikasi seperti radang paru-paru dan jangkitan bakteria seperti staphylococcus dan streptococci.

“Kadar mortaliti bertambah tinggi untuk pesakit yang mengalami komplikasi ini.

“Ibu mengandung yang dijangkiti cacar air pada trimester pertama mempunyai risiko kepada janin untuk mengalami sindrom kongenital varicella yang boleh menjejaskan tumbesaran serta pembentukan sifat dan organnya.

“Jangkitan cacar air pada trimester ketiga pula boleh berjangkit ke bayi yang baru lahir. Ia boleh mendatangkan bahaya kepada bayi yang baru dilahirkan dan kanak-kanak yang berimuniti rendah,” katanya.

Rawatan cacar air

Kebanyakan pesakit yang sihat hanya memerlukan rawatan sokongan iaitu:

• Rehat mencukupi

• Banyakkan minum air

• Ubat demam

• Ubat dan krim untuk mengurangkan gatal

Ibu bapa digalakkan untuk memotong kuku anak supaya tidak melukakan bintik cacar air apabila digaru. Jika luka, lebih mudah untuk kulit diserang bakteria lain yang mungkin menimbulkan lebih banyak komplikasi.

Penyakit cacar air dapat dikesan dari sejarah pesakit dan kemunculan ruam cacar air yang unik. Jika kurang pasti, dinasihatkan berjumpa doktor agar mendapatkan diagnosis yang tepat.

Katanya, pesakit mudah menjangkiti sehari ke dua hari sebelum ruam timbul hingga semua bintik kering dan berkuping serta tiada bintik baru yang timbul.

Proses itu akan mengambil masa seminggu hingga dua minggu. Dalam tempoh itu pesakit digalakkan berehat di rumah dan mengelak daripada mengunjungi tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 12:41 PM