Aktor AS, Alec Baldwin dilaporkan melepaskan tembakan di lokasi penggambaran menyebabkan seorang maut dan seorang cedera. - FOTO AFP
Aktor AS, Alec Baldwin dilaporkan melepaskan tembakan di lokasi penggambaran menyebabkan seorang maut dan seorang cedera. - FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Aktor Amerika Syarikat (AS), Alec Baldwin dilaporkan melepaskan tembakan dengan senapang yang digunakan dalam penggambaran menyebabkan seorang sinematografer maut dan pengarah cedera.

Kejadian berlaku di set penggambaran filem Rust di mana Baldwin memainkan watak utama.

"Halyna Hutchins dan Joel Souza tertembak dengan senjata prop yang dikendalikan Baldwin," kata sherif di Santa Fe dalam kenyataan.

Hutchins, 42, dihantar ke hospital dengan helikopter namun meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya manakala, Souza, 48, dibawa menggunakan ambulans dan sedang menerima rawatan.

Tiada sebarang dakwaan difailkan atas insiden berkenaan setakat ini, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Jurucakap produksi memaklumkan The Hollywood Reporter, 'kemalangan' itu membabitkan tembakan yang dilepaskan tanpa sengaja.

Jurucakap sherif berkata, pengarah berada dalam 'keadaan kritikal'.

Insiden itu berlaku di Bonanza Creek Ranch, lokasi penggambaran berhampiran Santa Fe yang popular dalam kalangan pembikin filem Hollywood.

Sementara itu, jurucakap Sheriff Santa Fe, Juan Rios memaklumkan AFP bahawa Baldwin sudah disoal siasat oleh detektif.

"Dia memberikan kenyataan dan menjawab pertanyaan mereka. Dia masuk secara sukarela dan meninggalkan bangunan itu selepas selesai disoal.

"Tidak ada tuduhan yang diajukan dan tidak ada penangkapan yang dilakukan," katanya.

Akhbar Santa Fe New Mexican menerbitkan gambar Baldwin yang kelihatan bingung ketika berada di tempat letak kereta di lokasi kejadian selepas tragedi itu.

Akhbar itu mengatakan wartawannya melihat pelakon itu menangis selepas dia disoal oleh penyiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 3:03 PM