PROGRAM pemvaksinan Covid-19 di Mexico. FOTO EPA
PROGRAM pemvaksinan Covid-19 di Mexico. FOTO EPA
AFP

Mexico City: Dua lelaki Mexico berusia 30-an berjaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di ibu negara Mexico, selepas menyamar sebagai warga emas.

Bagaimanapun, tindakan dua lelaki itu mengundang padah selepas mereka akhirnya tertangkap, menurut pihak berkuasa.

Ketika kejadian, lelaki itu datang ke pusat vaksinasi selepas mewarnakan rambut dan kening mereka putih.

Pusat berkenaan adalah untuk memvaksin individu berusia 60 tahun dan ke atas.

Kedua-duanya mengemukakan dokumen palsu identiti dan menerima vaksin.

Bagaimanapun, mereka tertangkap selepas perlu bercakap dengan petugas pusat berkenaan selepas menerima vaksin.

"Kakitangan mengesyaki bahawa suara mereka tidak seperti orang tua dan kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Kedua-dua lelaki itu kini berdepan dakwaan menggunakan identiti palsu.

Mexico dengan populasi 126 juta, kini merekodkan 205,000 kematian akibat Covid-19 dan ia adalah angka ketiga tertinggi dunia.

Ia sudah melaksanakan pemberian 10 juta dos vaksin kepada petugas kesihatan dan warga tua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 8:52 AM