BAS yang terlibat dalam kemalangan. FOTO/FAIL
BAS yang terlibat dalam kemalangan. FOTO/FAIL
AFP

KAMPALA: Presiden Uganda, Yoweri Museveni semalam, mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari, selepas puluhan mangsa maut apabila sebuah bas yang dipandu laju melanggar traktor, sebelum merempuh sebuah trak.

Pertubuhan Palang Merah berkata, 48 mangsa terbunuh, termasuk 16 kanak-kanak dalam kemalangan itu, tetapi pihak polis mendakwa hanya 22 individu maut, manakala 14 lagi cedera.

Kejadian itu adalah antara kemalangan paling dahsyat di Uganda dalam tempoh beberapa tahun dan ia dilaporkan berlaku ketika hujan lebat di Kiryandongo, yang terletak kira-kira 220 kilometer di utara Kampala.

“Atas arahan Presiden Museveni, kerajaan mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara, mulai Ahad ini.

“Hasil siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca akibat kenderaan dipandu laju, selain kegagalan mekanikal,” kata Perdana Menteri, Ruhakana Rugunda dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang maut akan menerima pampasan sebanyak 1,145 euro (RM5,297), manakala yang cedera menerima 684 euro (RM3,166).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 11:39 AM