LOONKIITO berusia 19 tahun ketika mati dan mungkin antara singa tertua di dunia. FOTO Facebook
LOONKIITO berusia 19 tahun ketika mati dan mungkin antara singa tertua di dunia. FOTO Facebook
Agensi

Nairobi: Seekor singa jantan liar dipercayai antara tertua di dunia mati selepas dibunuh oleh pengembala, kata pihak berkuasa di Kenya.

BBC melaporkan, Loonkiito berusia 19 tahun mati di Kampung Olkelunyiet pada Rabu lalu, ketika mencari haiwan ternakan.

Kampung berkenaan terletak bersempadan Taman Negara Amboseli di selatan Kenya.

Kumpulan pemuliharaan Lion Guardians berkata, ia mungkin singa jantan tertua di Afrika.

Kebanyakan singa liar hidup sehingga kira-kira 13 tahun.

Hampir semua singa tinggal di Afrika dengan populasi kecil di India, menurut Persekutuan Hidupan Liar Dunia.

Jurucakap Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS), Paul Jinaro berkata, singa itu tua dan lemah serta merayau ke kampung dari taman untuk mencari makanan.

Bagaimanapun, Jinaro berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada haiwan liar itu adalah singa tertua di negara itu.

Kumpulan Penjaga Singa yang dikendalikan oleh Maasai dan berusaha memulihara populasi singa di Taman Negara Amboseli berkata, singa terbabit sering mencari haiwan ternakan.

Pemulihara hidupan liar dan Ketua Pegawai Eksekutif WildlifeDirect, Paula Kahumbu berkata, pihaknya sedih dengan pembunuhan singa itu dan menggesa langkah melindungi hidupan liar di negara itu.

Purata jangka hayat singa adalah kira-kira 13 tahun walaupun ia boleh hidup lebih lama dalam kurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 2:40 PM