GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Kaherah: Seorang lelaki di Mesir terpaksa menceraikan isterinya selepas kecewa dengan sikap wanita itu yang tidak matang apabila tidak memulangkan pakaian yang dipinjamnya.

Memetik Gulf News, lelaki itu berkata, isterinya yang berusia 22 tahun itu pada mulanya meminjam pakaian jiran mereka untuk keluar pada hujung minggu.

Namun katanya, isterinya itu tidak memulangkan kembali pakaian itu sebaliknya mengugut dan memukul jiran mereka.

"Suatu hari, jiran mengadu kepada saya, isteri saya mengambil pakaian anak perempuannya dan tidak memulangkannya semula.

"Seorang lagi jiran memaklumkan dia mahu membuat laporan polis, jadi saya membelikan mereka pakaian baharu untuk mengelak diambil tindakan," katanya.

Menurutnya, walaupun cuba menjernihkan keadaan namun isterinya memburukkan lagi keadaan apabila memukul jirannya itu.

"Saya ke rumah keluarga isteri kerana gagal menemui jalan penyelesaian atas tingkah laku buruk isteri saya itu.

"Saya meminta cerai secara baik namun dia menolak.

"Jadi, saya tiada pilihan lain (dan) terpaksa memfailkan cerai di mahkamah namun ia masih belum diputuskan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 7:01 AM