GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Kaherah: Tidak tahan banyak bercakap, seorang lelaki Mesir didakwa membunuh isterinya di depan anak mereka.

Gulf News melaporkan, lelaki itu menghentak kepala isterinya ke dinding beberapa kali sehingga mangsa tidak sedarkan diri di depan tiga anak mereka.

Menurut polis tempatan, lelaki itu mengaku membunuh isterinya dan mendakwa melakukannya kerana wanita itu banyak bercakap.

Laporan media mengatakan pada hari kejadian, pertengkaran mulut bertukar panas apabila lelaki itu menyerang isterinya dan menghentak kepala mangsa ke dinding beberapa kali.

Keesokan pagi, lelaki itu meninggalkan rumah untuk bekerja dan membiarkan isterinya di dalam bilik dam menyangka dia tidur.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya yang memberitahu si ibu meninggal dunia dan dia bergegas pulang ke rumah.

"Kami membangunkannya, tetapi ibu sudah tidak bernyawa," kata anaknya.

Suspek membawa isterinya ke hospital tetapi mangsa gagal diselamatkan.

Bagaimanapun, laporan perubatan menunjukkan sebab kematian akibat hentakan kuat dan beberapa lebam di badan sebelum kes itu dirujuk kepada polis.

Siasatan menunjukkan berlaku pertengkaran mulut membabitkan pasangan itu mengenai keluarga.

Bagaimanapun, dia mengaku membunuh isterinya secara tidak sengaja kerana wanita itu banyak bercakap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:45 AM