PROGRAM vaksinasi di Cape Town, Afrika Selatan. FOTO EPA
PROGRAM vaksinasi di Cape Town, Afrika Selatan. FOTO EPA
AFP

Johannesburg: Lebih 200,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di benua Afrika sejak bermulanya wabak itu.

Benua itu mempunyai jumlah penduduk mencecah 1.3 bilion orang mencatatkan 200,254 kematian sejak virus itu muncul pertama kali di China pada Disember 2019.

Jumlah kematian di seluruh dunia akibat Covid-19 melebihi 4.57 juta orang.

Selepas beberapa bulan, sekitar 27,000 kematian pada Julai direkodkan dan 26,000 pada Ogos.

Bagaimanapun, wabak itu semakin reda di benua ini dengan angka kes harian hanya 617 berbanding 990 pada akhir Julai.

Angka itu berdasarkan jumlah diberikan pihak berkuasa kesihatan di setiap negara atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) termasuk negara di Afrika Utara.

WHO mengatakan jika lebih kematian yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan koronavirus diambil kira, jumlah mangsa sebenarnya mungkin dua atau tiga kali lebih tinggi.

Afrika Selatan mencatatkan 83,899 kematian setakat ini, tetapi purata harian kes minggu lalu adalah 7,400 kes dan 234 kematian, jauh lebih rendah daripada pada akhir Julai,

Penurunan ini lebih ketara di Tunisia yang mencatat purata harian sebanyak 1,680 kes dan 64 kematian, penurunan masing-masing 41 peratus dan 39 peratus dari minggu sebelumnya.

Afrika menyaksikan kadar vaksinasi terendah hingga kini di semua benua, dengan hanya lapan suntikan setiap 100 penduduk berbanding 102 di Eropah dan 116 di Amerika Syarikat dan Kanada.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 9:33 AM