WANITA memakai pelitup muka ketika menyeberangi London Bridge, London. FOTO AFP
WANITA memakai pelitup muka ketika menyeberangi London Bridge, London. FOTO AFP
AFP

Madrid: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, memberi amaran bahawa angka kematian global akibat Covid-19 mungkin boleh meningkat sehingga dua juta orang

Ketika ini, angka kematian, menurut kiraan AFP, adalah 985,707 orang yang direkodkan daripada lebih 32.3 juta kes.

"Satu juta adalah jumlah yang amat membimbangkan dan kita perlu memikirkan sesuatu sebelum ia menjadi dua juta (kematian)," katanya Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada semua pihak secara bersama-sama bersedia untuk mengelak daripada angka korban akibat pandemik itu mencecah dua juta orang.

"Jika kita tidak mengambil langkah-langkah tertentu... kita akan melihat angka (dua juta) itu dan apa yang menyedihkan, jumlahnya mungkin boleh menjadi lebih tinggi," katanya.

Amaran WHO itu dibuat ketika Sepanyol melanjutkan sekatan pergerakan (lockdown) di Madrid pada Jumaat.

Menerusi perintah berkenaan, penduduk tidak dibenarkan masuk atau keluar bandar berkenaan.

Di Poland dan Perancis, kes Covid-19 turut menunjukkan peningkatan.

Kes harian di Perancis melonjak melepasi 16,000 untuk kali pertama menandakan penularan gelombang baharu virus berkenaan.

Britain pula sudah memperluas sekatan kepada hampir satu pertiga daripada populasi penduduk negara itu.

Selain itu, dua rangkaian pasar raya utama di negara itu sudah mengehadkan jumlah pembelian bagi mengelak orang ramai daripada membuat pembelian panik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:09 PM