AMANDA Sharp-Jefferson. FOTO Agensi
AMANDA Sharp-Jefferson. FOTO Agensi
Agensi

Las Vegas: Lemaskan anak untuk jual organ. Itu perbuatan terkutuk seorang ibu yang sanggup menenggelamkan dua bayinya di dalam tab mandi semata-mata mencari wang dengan jalan mudah.

Amanda Sharp-Jefferson 26, dituduh membunuh Rose Singleton yang berusia 12 bulan dan Lily yang baru berusia dua bulan di rumahnya.

Daily Mirror melaporkan bapa mangsa, Jaykwon Singleton pulang ke rumah Jumaat lalu dan menemui mayat dua beradik malang itu.

Media tempatan melaporkan lelaki itu bertanya kepada Sharp-Jefferson mengenai apa yang dia lakukan.

Wanita itu hanya menyuruh teman lelakinya itu mendiamkan diri dan pada satu ketika memberitahu bahawa organ bayi itu 'bernilai tinggi.'

"Dia menenggelamkan mereka," kata Singleton seperti dilaporkan media.

Polis yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati dua beradik itu sudah meninggal dunia.

Menurut polis, Sharp-Jefferson memaklumkan dia akan mendapat banyak wang daripada penjualan organ dalaman dua anak perempuannya.

Dia dibawa ke balai polis bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini terutama daripada keluarga Singleton yang marah dengan kejadian itu.

Dalam pada itu, Singleton turut mengakui dia menyedari kekasihnya berperangai pelik sejak dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 6:31 AM