AMANDA Rawles. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AMANDA Rawles. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


Mula berlakon sinetron pada usia 11 tahun, nama bintang remaja Indonesia, Amanda Rawles, 17, kini makin dikenali peminat.

Apatah lagi Amanda yang sering digandingkan berlakon dengan pelakon Jefri Nichol, 18, dalam Dear Nathan, Jailangkung dan ABC: Aku, Benci, & Cinta dianggap pasangan serasi.

Keserasian lakonan mereka umpama gandingan pasangan Nicholas Saputra bersama Dian Sastrowardoyo serta Adipati Dolken dan Maudy Ayunda.

Namun begitu, apakah keserasian dibina di lokasi penggambaran dibawa dalam kehidupan realiti remaja berbakat ini?

Amanda yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini berkata, dia seorang yang sangat profesional ketika bekerja.

Katanya, meskipun memang ramai peminat mahu dia dan Nichol menjadi pasangan kekasih sebenar, perkara itu tidak akan berlaku.

“Hubungan di antara saya dan Nichol hanya serasi menjadi pasangan kekasih di layar lakon. Dalam kehidupan realiti, kami berdua sudah ada pilihan masing-masing.

“Saya sudah ada teman lelaki, begitu juga Nichol. Jadi, jujur dikatakan memang tidak wujud langsung cinta lokasi di antara kami kecuali selesa bekerjasama,” katanya.

Kata Amanda, dia kini bahagia dengan kekasihnya yang sangat memahami serta menyokong karier seni diceburi.

Bersikap terbuka berbicara mengenai peribadi, Amanda berkata, dia tiada masalah untuk berkongsi serba sedikit mengenai kisah cintanya.

“Saya mengaku sudah ada kekasih. Itu perkara yang benar, jadi tidak ada salahnya pun kalau mengaku. Pada saya, hubungan percintaan pada alam remaja perkara yang biasa bagi golongan muda-mudi masa kini,” katanya.

Amanda yang datang ke negara ini sempena tayangan malam gala filem seram Jailangkung lakonannnya memberitahu dia selesa berterus terang.

Berbicara pengalamannya berlakon filem seram, Amanda berkata, dia sebenarnya sangat penakut.

“Apapun, pembabitan saya dalam filem Jailangkung lebih menjurus untuk mencabar tahap keberanian diri sendiri. Saya sangat takut pada gelap jadi apabila saya bersetuju membintangi Jailangkung, ramai rakan macam tidak percaya.

“Begitu juga ibu bapa dan anggota keluarga saya. Bagaimanapun, mereka tetap memberikan sokongan padu,” katanya.

Gadis berdarah campuran Australia dan Indonesia ini mengakui sangat suka mekap dan obses pada kecantikan. Baginya, gadis dan kecantikan perkara sinonim.

“Saya sangat selesa dan gembira jika penampilan diri sentiasa kemas dan menarik. Bagi peminat yang mengikuti laman sosial Instagram (IG) saya memang tahu foto selalu dikongsikan.

“Biasanya, saya akan muat naik foto berkaitan fesyen dan solekan,” katanya.

Mengenai impiannya dalam karier lakonan, Amanda berkata, jika dulu dia berlakon kerana suka-suka tetapi kini ia sudah menjadi minat. Amanda mengharapkan akan sentiasa ada peluang untuknya .

“Saya baru lima tahun aktif berlakon. Rasanya masih banyak pengalaman dan karakter harus saya cuba lakonkan.

“Saya menyimpan impian untuk mendapat peluang melakonkan karakter berat seperti antagonis dan psiko,” katanya.

Amanda juga berharap bakat lakonannya mendapat pengiktirafan anugerah. Katanya, jika diberi rezeki dia sangat bersyukur.

Selain Jailangkung, tiga lagi filem lakonan Amanda yang menjengah pawagam tahun ini ialah Promise, Dear Nathan dan ABC : Aku, Benci, & Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:52 AM